TAHAP PENGETAHUAN, PERSEPSI DAN SIKAP PELAJAR TERHADAP PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN (P&P) PERIBAHASA NILAI ISLAM DALAM KURSUS PENGHAYATAN ETIKA DAN PERADABAN (CTU554)
Abstract
Peranan peribahasa yang mengandungi nilai-nilai keagamaan Islam cukup besar dalam membangunkan etika dan peradaban bangsa Melayu. Namun, interpretasi terhadap maksud peribahasa yang penuh dengan makna abstrak dan penggunaannya perlulah bersesuaian dalam kalangan generasi muda. Justeru, kajian ini dilakukan untuk mengkaji tahap pengetahuan dan persepsi pelajar Sarjana Muda di Universiti Teknologi MARA terhadap peribahasa keagamaan Islam. Ianya turut melihat sikap pelajar terhadap pengamalan peribahasa tersebut dalam kehidupan seharian mereka. Kajian pendekatan kuantitatif yang menggunakan kaedah deskriptif ini melibatkan 210 pelajar yang mengikuti kursus Penghayatan Etika dan Peradaban (CTU554) di UiTM Cawangan Terengganu. Data-data yang diperolehi itu dianalisis secara deskriptif menggunakan SPSS 26 bagi melihat min, sisihan piawai dan peratus. Hasil kajian mendapati tahap pengetahuan dan persepsi pelajar terhadap pembelajaran peribahasa yang mengandungi nilai keagamaan adalah tinggi manakala kebanyakkan item yang menyentuh sikap pelajar terhadap penggunaan peribahasa dalam kehidupan seharian mereka adalah sederhana. Pembelajaran dan pengajaran (P&P) peribahasa Melayu yang mengandungi nilai-nilai Islam memberi implikasi yang besar dalam membangunkan jati diri pelajar, memupuk kesedaran kecintaan terhadap agama dan bangsa; dan melestarikan warisan peradaban bangsa.