ISLAM SEBAGAI AGAMA PERSEKUTUAN DALAM UNSUR TRADISI PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN DI MALAYSIA

Authors

  • Mastura Abd Wahab
  • Khadijah Muda
  • Wan Mohd Fazrul Azdi Wan Razali
  • Siti Nor Azhani Mohd Tohar

Abstract

Sebagai sebuah negara berbilang bangsa, Malaysia mengamalkan amalan toleransi beragama. Namun, terdapat segelintir rakyatnya yang masih menimbulkan isu-isu yang menyentuh sensitiviti agama dan berupaya menggugat perpaduan kaum di Malaysia. Walhal, sudah terdapat perjanjian sosial yang disepakati antara para pemimpin parti perikatan sewaktu menjelang kemerdekaan Tanah Melayu untuk menjaga dan memelihara kontrak sosial ini. Peruntukan berkaitan Islam dan agama lain juga merupakan salah satu daripada empat unsur tradisi, sudah termaktub dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948. Isi-isi perjanjian tersebut menjadi asas kepada penggubalan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957 serta Perlembagaan Persekutuan 1963. Perlembagaan Persekutuan ini perlu difahami dan diterima oleh kesemua rakyat Malaysia kerana perlembagaan ini merupakan undang-undang bertulis tertinggi di Malaysia. Justeru, kajian ini bertujuan menghuraikan teori dan konsep kontrak sosial menurut sarjana Barat dan Malaysia, unsur-unsur tradisi dalam Perlebagaan Persekutuan, serta peruntukan-peruntukan Islam sebagai agama Persekutuan di Malaysia. Hasil kajian mendapati bahawa teori kontrak sosial telah lama diguna pakai oleh sarjana Barat terdahulu. Beberapa sarjana Barat mendefinisikan kontrak sosial sebagai suatu perjanjian atau keadaan secara semula jadi yang melibatkan pelbagai individu yang mempunyai hak-hak terhadap hartanya, hidup secara aman dan sejahtera bersama-sama. Kontrak sosial dalam konteks di Malaysia adalah pendapat dan hasrat setiap bangsa bagi mencari persefahaman antara rakyat agar dapat mewujudkan perasaan berbaik-baik dan saling menghormati hak masing-masing dalam bentuk kerjasama yang berkekalan. Empat unsur tradisi dalam Perlembagaan Persekutuan meliputi kedudukan Raja-raja Melayu, kedudukan agama Islam sebagai agama persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta hak istimewa orang Melayu. Seterusnya, perkara terpenting dalam kajian ini adalah mengenai kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan yang merupakan salah satu daripada empat unsur tradisi dalam kontrak sosial di Malaysia. Islam sebagai agama Persekutuan adalah berdasarkan Perkara 3 (1) dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Namun, agama-agama lain masih boleh diamalkan di Malaysia. Oleh itu, sebarang polemik yang menyentuh sensitiviti keagamaan perlu dielakkan bagi memastikan perpaduan rakyat Malaysia yang berbilang agama. Pemahaman yang mendalam berkenaan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan Malaysia juga perlu diberi perhatian dan dijaga bagi menjaga unsur tradisi ini.

Downloads

Published

2022-03-31