MELESTARIKAN PENGURUSAN SISA PEPEJAL BERDASARKAN PANDANGAN ISLAM: ANALISIS TERHADAP AMALAN 3R

Authors

  • Osman Md Rasip
  • Muhammad Firdaus Zakaria
  • Raja Hisyamudin Raja Sulong

Abstract

Pengurusan sisa pepejal merupakan keperluan asasi bagi sesebuah komuniti yang menjadi pemangkin kepada keamanan hidup manusia serta kestabilan ekosistem flora dan fauna. Walaupun pengurusan sisa pepejal ialah suatu aspek yang dicapai pada zaman modenisasi manusia, namun penekanan terhadapnya secara hakikat telah pun ditonjolkan melalui ajaran Islam. Syariat Islam yang mengiktiraf manusia sebagai khalifah di muka bumi yang diamanahkan untuk memelihara kesuburan dan kelestariannya telah menunjukkan aspek pengurusan sisa pepejal turut terangkum dalam tugasan untuk memastikan hasrat ini terus tercapai. Di Malaysia, pengurusan sisa pepejal yang diamalkan adalah berasaskan kepada 3R iaitu Reduce (Pengurangan), Reuse (Guna Semula) dan Recycle (Kitar Semula) yang mana pemahaman ke atasnya adalah kurang diperincikan berasaskan intipati Islam. Sedangkan Islam merupakan agama rasmi bagi persekutuan dan majoriti daripada penduduknya adalah terdiri daripada penganut agama Islam. Tambahan pula, pendekatan keagamaan merupakan pendekatan berbentuk spiritual yang berkesan ke arah menyuntik nilai cintakan alam sekitar dalam diri manusia. Oleh yang demikian, objektif kertas kerja ini adalah bertujuan untuk menjelaskan bagaimana pemahaman terhadap amalan 3R daripada perspektif Islam dapat menyumbang kepada pemerkasaan pengurusan sisa pepejal. Hasil perbincangan mendapati pengurusan sisa pepejal menerusi amalan 3R sebenarnya mempunyai asas yang kukuh dalam Islam serta didokong kuat oleh syariat. Perbincangan mengenai pengurusan sisa pepejal daripada perspektif Islam adalah mustahak demi menjadikan pengurusan sisa pepejal bukan sahaja dilihat sebagai suatu tindakan yang dipuji di sisi moral, malahan merupakan suatu tuntutan manifestasi keimanan buat masyarakat muslim yang perlu dihayati agar kesedaran mengenai tanggungjawab yang perlu dipikul dapat dipertingkatkan.

Downloads

Published

2022-03-31