PENGGUNAAN DINAR EMAS SEBAGAI MEDIUM BERWAKAF: ANALISIS PANDANGAN SARJANA ISLAM
Abstract
Wakaf merupakan satu bentuk kehartaan yang menjadi salah satu penyumbang dalam pembangunan Islam. Amalan berwakaf menggunakan wang fiat merupakan instrumen yang diguna pakai dalam kebanyakan kaedah wakaf tunai pada hari ini. Hasil penelitian kepada sorotan karya yang dilakukan mendapati wang fiat mempunyai kelemahan antaranya terdapat unsur riba, inflasi, susut nilai, unsur ketidakpastian, tiada nilai intrinsik dan ketidakadilan. Oleh kerana kelemahan tersebut, kajian ini melihat bahawa permasalahan yang ada pada sifat wang fiat boleh mengganggu gugat elemen kekekalan Ain dalam amalan wakaf tunai. Ekoran itu, kajian ini mencadangkan agar dinar emas dijadikan alternatif kepada wang fiat dalam melakukan ibadah wakaf khususnya dalam mewujudkan kaedah berwakaf secara wakaf tunai. Justeru itu, kajian ini akan memfokuskan analisis ke atas dinar emas sebagai medium berwakaf tertumpu kepada mengenal pasti asas dinar emas sebagai medium berwakaf berdasarkan al-Quran menurut pandangan sarjana Islam. Kajian ini berbentuk penerokaan, maka pengumpulan data diperoleh daripada kajian dokumen. Data dianalisis menggunakan kaedah analisis kandungan. Hasil kajian mendapati, di dalam al-Quran tidak terdapat sebarang nas yang menyentuh tentang penggunaan dinar emas sebagai salah satu medium berwakaf. Namun begitu, wakaf melalui penggunaan dinar emas ini dapat dikaitkan dengan elemen berwakaf selari dengan konsep bersedekah.