PENGARUH NILAI KEAGAMAAN DAN KUALITI PERKHIDMATAN TERHADAP KESETIAAN PENDEPOSIT DI TABUNG HAJI
Abstract
Institusi kewangan Islam merupakan institusi yang menjadi pemudahcara bagi seseorang Muslim dalam urusan muamalat khususnya bagi aliran wang dan transaksi kewangan yang patuh Syariah. Institusi Tabung Haji (TH) merupakan sebuah institusi kewangan Islam yang menawarkan kemudahan kewangan bagi umat Islam untuk menabung sebelum menunaikan ibadah haji dan umrah ke Mekah. Sistem pengurusan TH yang sistematik dapat membantu pendeposit membuat simpanan demi kesejahteraan umat Islam. TH juga merupakan sebuah institusi kewangan yang menjalankan transaksi kewangan berlandaskan undang-undang Islam dan ianya telah berjaya menarik minat lebih daripada 9 juta orang pendeposit. Bilangan pendeposit yang tinggi ini menunjukkan bahawa TH telah memperoleh kepercayaan yang sangat tinggi daripada pendeposit yang mana menjadi ianya menjadi salah satu faktor yang mempengaruhi mereka untuk kekal setia membuat simpanan di TH. Selain menerapkan prinsip Syariah dalam setiap transaksi kewangan, kualiti perkhidmatan yang disediakan oleh TH juga telah berjaya menarik kepercayaan pendeposit. Oleh itu, kajian ini dilaksanakan dengan tujuan untuk mengenalpasti pengaruh nilai keagamaan dan kualiti perkhidmatan terhadap kesetiaan pendeposit di Tabung Haji. Kajian ini melibatkan individu Muslim yang tinggal di Kampung Gajah, Perak sebagai responden. Seterusnya, kaedah kuantitatif telah digunakan bagi memperolehi dapatan kajian. Selanjutnya, data kajian yang diperolehi kemudiannya dianalisis bagi menyelesaikan persoalan yang berkaitan dengan faktor utama yang mempengaruhi pendeposit Muslim di Kampung Gajah, Perak untuk menjadi pelanggan tetap di TH. Faktor nilai keagamaan telah dilihat sebagai faktor yang paling mempengaruhi pendeposit Muslim dalam menjadi pendeposit tetap di TH berbanding faktor kualiti perkhidmatan. Hasil kajian juga menunjukkan faktor nilai keagamaan menjadi satu faktor bagi umat Islam untuk menunaikan Haji serta menyimpan wang untuk kegunaan masa hadapan. Hal ini demikian kerana keyakinan pendeposit dalam menyimpan wang di TH adalah atas dasar menepati tuntutan syariat Islam. Justeru, diharapkan hasil dapatan daripada kajian ini akan memberi sumbangan idea kepada institusi kewangan Islam khususnya TH dalam menambahbaik strategi pemasaran, kualiti perkhidmatan, aliran transaksi, dan sebagainya supaya institusi kewangan Islam ini dapat menjadi lebih maju dan setaraf dengan institusi kewangan Islam yang bertaraf dunia yang lain bagi meningkatkan taraf ekonomi Islam.