KEBERKESANAN PENDIDIKAN ISLAM DALAM KALANGAN ANAK-ANAK MUALAF: ANALISIS KEPERLUAN

Authors

  • Asma’ Fakhruddin
  • Azarudin Bin Awang

Abstract

Anak merupakan anugerah Allah SWT kepada hambaNya yang perlu dipelihara dan dibina; golongan ini termasuklah golongan anak-anak mualaf. Tanggungjawab menyebar ilmu pengetahuan Islam kepada golongan mualaf ini diambil oleh organisasi-organisasi kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) melalui pelaksanaan pelbagai program, aktiviti dan kelas bimbingan agama kepada mereka. Pendidikan Islam merangkumi ibadah, akidah, akhlak dan syariah dan ia merupakan perkara yang perlu diberi penekanan mendalam kepada anakanak kerana ia merupakan antara aspek penting yang mesti dipelajari oleh setiap Muslim agar komuniti Muslim yang bermaruah, berakhlak dan mempunyai jati diri Islam yang teguh dapat dibina sejak awal usia lagi. Kajian-kajian lepas tentang mualaf banyak membicarakan keberkesanan pendidikan Islam sama ada dalam aspek pengetahuan, kefahaman, amalan dan penghayatan agama dengan merujuk kepada implikasi dan tahap keberhasilan pendidikan kepada mereka. Namun begitu, penulis mendapati bahawa perbahasan serta kajian secara khusus tentang keberkesanan pendidikan Islam terhadap anak-anak mualaf yang telah dijalankan di Malaysia amat sedikit, sedangkan ia merupakan aspek yang mustahak untuk dibincangkan. Oleh itu, kajian ini akan menganalisis keperluan melaksanakan kajian keberkesanan pendidikan Islam ke atas anak-anak mualaf dalam usaha memperkasakan pendidikan agama mereka. Kajian ini menggunakan kajian kepustakaan iaitu penelitian terhadap bahan-bahan literatur yang diperolehi daripada Google Scholar dan Mendeley berkenaan anak-anak mualaf dalam tempoh lima tahun iaitu bermula daripada tahun 2016 sehingga 2020 dan kemudian analisis dijalankan secara tematik menggunakan ATLAS ti. version 8. Hasil kajian ini mendapati bahawa terdapat 11 artikel yang mengkaji tentang anak mualaf di bawah enam tema iaitu 1) Pendidikan Keluarga Mualaf, 2) Peranan Ibu Bapa Mualaf, 3) Kesulitan Ibu Bapa Mualaf, 4) Cabaran Anak Mualaf, 5) Internalisasi Nilai-Nilai Keislaman dan 6) Pengetahuan dan Amalan Fardhu Ain. Hasil analisis tematik ini menjelaskan bahawa terdapat keperluan terhadap kajian keberkesanan pendidikan Islam bagi anak-anak mualaf. Justeru, kajian ini mencadangkan agar lebih banyak kajian mengkaji keberkesanan pendidikan Islam terhadap anak-anak mualaf, sama ada dalam aspek kefahaman agama atau dalam aspek-aspek lain.

Downloads

Published

2022-02-28

How to Cite

Asma’ Fakhruddin, & Azarudin Bin Awang. (2022). KEBERKESANAN PENDIDIKAN ISLAM DALAM KALANGAN ANAK-ANAK MUALAF: ANALISIS KEPERLUAN. Journal of Islamic, Social, Economics and Development, 7(43). Retrieved from https://academicinspired.com/jised/article/view/1351