BIMBANG KETINGGALAN DALAM MEDIA SOSIAL: PENEROKAAN KONSEP DAN APLIKASI KAJIAN

Authors

  • Mohd Sobhi Ishak
  • Azizah Sarkowi

Abstract

Kepesatan pembangunan teknologi media sosial yang tidak pernah terfikir sebelum ini telah memudahkan netizen menjadikan aktiviti sosial luar dan dalam talian terjalin tanpa sempadan. Media sosial mewujudkan pelbagai peluang interaksi, namun pada masa yang sama wujud perkongsian maklumat berlaku secara tidak terkawal hingga gagal ditangani. Keadaan ini mencetuskan fenomena bimbang ketinggalan (Fear of Missing Out) atau lebih dikenali sebagai FoMO. Konsep ini didefinisikan sebagai meningkatnya kebimbangan seseorang sekiranya orang lain akan memperoleh banyak kelebihan berbanding dirinya apabila mereka tiada bersama. FoMO dicirikan oleh keinginan untuk sentiasa kekal terlibat dengan apa sahaja aktiviti yang dilakukan orang lain. Kajian ini berbentuk ulasan literatur yang bertujuan meneliti konsep dan fokus pengaplikasian kajian FoMO berdasarkan Teori Penentuan Kendiri. Hasil penelitian mendapati skala pengukuran 10 item FoMO yang dibangunkan oleh Przybylski, Murayama, DeHaan dan Gladwell (2013) semakin meluas diaplikasikan dalam kajian media sosial. Skala ini dibentuk berteraskan tiga komponen penting Teori Penentuan Kendiri iaitu autonomi, kompeten dan keterikatan. Analisis Word Cloud terhadap kajian yang diterbitkan dalam Pangkalan data Web Of Science mendapati fokus utama kajian FoMo ialah berkaitan dengan ketagihan media sosial. Tinjauan kajian lalu menunjukkan FoMO bertindak sebagai peramal dan perantara dan telah dijalankan dengan menggunakan pelbagai reka bentuk dan kaedah penganalisisan data. Manakala media sosial yang menjadi tumpuan kajian ialah Facebook dan Instagram. Kesimpulannya, FoMo adalah satu fokus kajian yang perlu diteroka dengan lebih mendalam seiring dengan peningkatan penggunaan media sosial.

Downloads

Published

2021-12-31