PERANAN GURU PENDIDIKAN ISLAM SEBAGAI MURABBI BERDASARKAN PANDANGAN PEMIKIR KONTEMPORARI
Abstract
Kertas kerja ini bertujuan untuk meneliti secara terperinci kajian-kajian yang berkaitan dengan Peranan Guru Pendidikan Islam (GPI) sebagai Murabbi. Penelitian ini dilaksanakan bagi mengkaji hasil kajian-kajian yang dititikberatkan oleh pemikir-pemikir kontemporari. Kajian ini adalah penting kerana abad ke-21 ini menyaksikan pelbagai cabaran dan tribulasi yang terpaksa diharungi oleh GPI khususnya untuk melahirkan pelajar sebagai hamba dan khalifah yang bersahsiah mulia dan yang berupaya untuk menyumbang kepada kemajuan agama, bangsa, tamadun dan negara. Oleh itu, peranan GPI sebagai Murabbi dilihat memiliki peranan yang penting dalam mencapai matlamat tersebut. Kertas kerja ini bersifat konseptual dan menggunakan kaedah analisis dokumen berdasarkan data sekunder seperti jurnal, artikel dan buku. Melaksanakan tanggungjawab sebagai Murabbi ini pastinya memerlukan keupayaan yang konsisten selaras dengan kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Oleh yang sedemikian, persoalan yang timbul ialah, sejauh mana penekanan yang diberikan oleh para pemikir kontemporari dalam meneliti GPI sebagai Murabbi? Mereka telah menjelaskan bahawa peranan GPI sebagai Murabbi adalah amat perlu dalam membentuk kecemerlangan akademik dan sahsiah para pelajar selaras dengan agama Islam sebagai satu cara kehidupan. Kertas kerja ini berhasrat untuk menjawab persoalan ini dengan meneliti kajian-kajian yang telah dijalankan oleh para pemikir kontemporari. Para pemikir kontemporari menjelaskan peranan GPI sebagai Murabbi perlu dalam membentuk kecemerlangan akademik dan sahsiah para pelajar.