KETIDAKSAKSAMAAN GENDER DALAM SEKTOR EKOPELANCONGAN DI LUAR BANDAR: KAJIAN KES DI KOTA BELUD
Abstract
Ketidaksaksamaan gender di Malaysia masih sangat ketara khususnya dalam aspek ekonomi dan politik. Situasi jurang gender semasa di Malaysia boleh diteliti melalui Laporan Global Gender Gap Index (GGGI) 2020 yang dikeluarkan oleh World Economic Forum, yang mana Malaysia berada di kedudukan 104 daripada 153 negara. Tahun 2020 menunjukkan skor GGGI bagi Malaysia adalah 0.68 (skor 1 bermaksud saksama mutlak dan 0 ketaksamaan mutlak). Skor ini menunjukkan Malaysia mempunyai jurang gender yang luas berbanding negara-negara ASEAN yang lain. Dalam konteks penyertaan tenaga buruh, data 2019 merumuskan kadar penyertaan buruh wanita adalah 55.2 peratus berbanding 80.4 peratus bagi lelaki. Dalam konteks perbincangan ini, kesaksamaan gender merujuk kepada keadaan iaitu wanita dan lelaki menikmati peluang, akses, hak, pemilikan sumber, serta kesetaraan peranan dalam aspek ekonomi, politik dan sosial. Manakala ekopelancongan dianggap satu ‘alat’ yang mampu membantu usaha mencapai kesaksamaan gender dalam aspek ekonomi, politik dan sosial di luar bandar. Indikator yang digunakan untuk menilai kebolehcapaian kesaksamaan gender ialah akses pemilikan dan kawalan sumber, penglibatan dalam proses membuat keputusan, peningkatan kemahiran, keyakinan diri, dan pengembangan jaringan sosial. Kaedah kualitatif yang digunakan dalam kajian ini termasuklah temubual mendalam, focus group discussion (FGD), pemerhatian di lokasi kajian, disamping mengikuti aktiviti ekopelancongan yang menampilkan wanita sebagai pengendali aktiviti. Seramai 44 orang responden wanita ditemubual dalam kajian ini. Dapatan kajian menunjukkan 37 peratus wanita terlibat secara langsung dalam membuat keputusan khususnya wanita yang memiliki serta mengurus inap desa atau home stay (22 peratus), dan kumpulan wanita yang mengetuai projek ekopelancongan berasaskan komuniti (15 peratus). Hasil kajian juga menunjukkan 15 peratus wanita mula meneroka aktiviti yang lazim didominasi lelaki iaitu pengendali aktiviti lasak seperti jungle trekking dan rafting di sungai. Namun, jurang gender masih ketara kerana masih ramai wanita yang terlibat dalam kerja pembersihan dan keceriaan di camping site dan inap desa iaitu sebanyak 42 peratus. Dapatan kajian berkaitan ketidaksaksamaan gender di luar bandar boleh menjadi input kepada agensi berkaitan dalam merangka dasar dan strategi untuk mencapai kesaksamaan gender di luar bandar.