KONSEP DAN AMALAN INTEGRITI DALAM PELAKSANAAN PEMBANGUNAN NABI SULAYMAN A.S.: ANALISIS AYAT-AYAT TERPILIH

Authors

  • Muhamad Hafizuddin Ghani

Abstract

Kertas kerja ini bertujuan mengkaji dan menganalisis ayat-ayat al-Qur’an terpilih berkaitan konsep dan amalan integriti dalam pelaksanaan pembangunan oleh Nabi Sulayman a.s. Al-Qur’an merakamkan Nabi Sulayman a.s. sebagai seorang Nabi yang melaksanakan pembangunan dengan begitu hebat. Menerusi penceritaan al-Qur’an, baginda a.s. didapati komited dengan pengamalan nilai integriti dalam membangunkan kerajaan baginda a.s. Hal ini menunjukkan pentingnya nilai integriti dititikberatkan dalam pelaksanaan sesebuah pembangunan. Persoalannya, apakah pengertian konsep integriti yang tepat sebagaimana yang dipraktikkan oleh Nabi Sulayman a.s.? Bagaimanakah konsep integriti ini dilaksanakan dalam pembangunan berteraskan Islam? Berdasarkan persoalan-persoalan ini, kertas kerja ini cuba meneliti dengan lebih lanjut konsep integriti, seterusnya menganalisis konsep integriti berdasarkan beberapa ayat al-Qur’an yang dipilih berdasarkan kaedah tafsir almawdu‘ iy. Akhirnya, kertas kerja ini mendapati bahawa integriti merupakan suatu konsep yang berkait rapat dengan akidah yang menjadi paksi kepada setiap aktiviti pembangunan. Berdasarkan konsep inilah budaya perkhidmatan cemerlang dapat dihasilkan dalam pelaksanaan pembangunan berteraskan Islam.

Downloads

Published

2021-09-30