SEJARAH PERANTAU MASYARAKAT JAWA DI KEDAH

Authors

  • Haslinda Hj. Hasan
  • Sharifah Ismail

Abstract

Kajian terhadap perantau Melayu dan diaspora pelbagai suku akan membuka jumpaan-jumpaan terhadap suku Jawa, Aceh, Banjar, Minang, Bugis dan seumpamanya. Orang Indonesia tidak menganggap penghijrahan atau perantauan mereka di daerah-daerah di Nusantara ini sebagai tempat yang asing bagi mereka kerana masyarakat Jawa khususnya mempunyai asas persamaan yang begitu banyak dalam aspek politik, sosial, ekonomi, asal-usul, bangsa dan agama. Malah, kajian mengenai sejarah kedatangan orang Jawa ke Tanah Melayu juga bukanlah satu fenomena yang baru, kerana ia lebih merupakan lanjutan daripada proses penghijrahan yang telah berlaku sejak zaman dahulu lagi. Kajian mengenai masyarakat Jawa ini mula mendapat perhatian apabila berlaku penghijrahan besar-besaran pada abad ke-18 dan ke-19 sehinggalah sekarang. Artikel ini mengkaji sejarah kedatangan perantau masyarakat Jawa ke Malaysia khususnya di negeri Kedah. Kewujudan penempatan masyarakat Jawa ini dikenalpasti berdasarkan nama penempatan iaitu terdapat perkataan Jawa pada nama sesebuah perkampungan dan temubual yang dilaksanakan. Misalnya Kampung Jawa Alor Setar, Kampung Jawa Kota Sarang Semut, Kampung Jawa Yan, Kampung Jawa Kuala Ketil dan Kampung Jawa Sungai Petani. Kedatangan mereka membuka penempatan dan berkembang luas suku Jawa membawa kepada peningkatan taraf hidup dan kepelbagaian budaya di negeri Kedah. Fokus kajian ini untuk mengkaji sumbangan yang besar orang berketurunan Jawa dalam mengukir sejarah kampung yang wujud bermula sejak Perang Dunia Kedua di daerah Baling Kedah. Kajian di daerah Baling dilakukan kerana terdapat penempatan dan diaspora masyarakat Jawa yang kukuh.

Downloads

Published

2021-09-30