ASPEK-ASPEK PEMBANGUNAN INSAN: ANALISIS KETOKOHAN BADIUZZAMAN SAID NURSI

Authors

  • Norullisza Khosim
  • Azrin Ibrahim
  • Mohd Shukri Hanapi

Abstract

Pembangunan insan merupakan satu bentuk pembangunan yang perlu diberi perhatian lebih-lebih lagi dalam perihal dunia yang sedang menghadapi kemelut pandemik COVID-19. Pengabaian proses pembangunan insan yang berterusan ketika berhadapan dengan norma baharu kehidupan pada saat ini akan memberi kesan buruk yang lebih besar impaknya, bukan sahaja kepada individu tertentu malah kepada masyarakat keseluruhannya. Oleh sebab itu, kefahaman terhadap pembangunan insan dari sudut aspeknya perlu ditekankan agar pembangunan yang dijalankan tidak mengetepikan aspek-aspek sedia ada yang perlu diperteguh setiap masa. Justeru, kajian ini bertujuan mengenal pasti aspek-aspek pembangunan insan seterusnya penganalisisan dilakukan terhadap ketokohan Badiuzzaman Said Nursi. Penganalisisan aspek pembangunan insan berdasarkan ketokohan Badiuzzaman Said Nursi dilakukan kerana beliau mampu membangun menjadi seorang tokoh yang cemerlang walaupun berhadapan dengan pelbagai halangan dan cabaran semenjak kecil sehingga saat kematiannya, membesar dalam era penentangan dan penindasan terhadap Islam, juga dalam suasana peperangan dan pengasingan. Kajian ini mengguna pakai kajian dokumen bagi pengumpulan data dengan mengaplikasikan pendekatan analisis kandungan bagi proses penganalisisan data. Hasil kajian memperlihatkan bahawa aspek pembangunan insan merangkumi lima perkara iaitu; (i) rohani, (ii) emosi, (iii) intelektual, (iv) jasmani, dan (v) sosial. Dapatan juga turut menjelaskan bahawa Badiuzzaman Said Nursi amat menitik beratkan kelima-lima aspek pembangunan insan walaupun berhadapan dengan pelbagai situasi, cabaran dan rintangan sepanjang kehidupan.

Downloads

Published

2021-09-30