HALA TUJU POLITIK MELAYU-ISLAM TUN DR. MAHATHIR MOHAMAD

Authors

  • Mohamad Syafiq Mohamad Jefri
  • Mohd Syakir Mohd Rosdi

Abstract

Tun Dr. Mahathir Mohamad adalah seorang tokoh politik yang berpengaruh di dunia. Beliau pernah menjawat jawatan Perdana Menteri Malaysia sebanyak dua kali dan beliau satu-satunya Perdana Menteri dalam tempoh paling lama iaitu selama 22 tahun. Beliau juga antara salah seorang tokoh Asia yang disenaraikan dalam The World’s 500 Most Influential Muslims. Percaturan dan pemikiran politik Tun Mahathir tidak dapat diduga dan dibaca oleh musuh politiknya. Maha firaun, kukubesi dan diktator ini adalah gelaran yang pernah diberikan keatas beliau rentetan beliau pernah mencetuskan kontroversi meminda Perlembagaan Persekutuan 1993 yang menyebabkan Raja-Raja Melayu hilang sebahagian kuasa. Tidak hanya itu, Tun Mahathir disifatkan sebagai dalang isu kematian tokoh ulama gerakan Islam (PAS) Ustaz Ibrahim Libya serta penangkapan ke atas orang kampung Memali. Beliau pernah bertindak menentang keputusan yang dibuat oleh Tunku Abdul Rahman yang dianggap mengetepikan hak orang Melayu dan terlalu bergantung harap pada kaum Cina sehingga menyebabkan beliau kalah kerusi parlimen Kota Star. Dilema Ultra Melayu beliau memerangkap dirinya setelah beliau kelihatan ‘mesra’ bersama pimpinan utama Democratic Action Party (DAP) dalam menghadapi pilihan raya umum ke-14. Kajian ini akan memperincikan berkaitan hala tuju politik Tun Dr. Mahathir Mohamad, menganalisis hala tuju Tun Mahathir berasaskan Melayu-Islam serta merumuskan pendekatan Melayu-Islam dalam hala tuju politik beliau. Secara amnya, kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif, manakala data kajian diperoleh dari kaedah kajian dokumen. Data-data ini kemudiannya dianalisa dengan menggunakan kaedah analisis dokumen. Dapatan kajian jelas menunjukkan bahawa hala tuju politik Melayu-Islam Tun Dr. Mahathir Mohamad adalah berkisar perjuangan yang berteraskan Agama (Alif), Bangsa (Ba) dan Tanah Air (Ta) yang menjadi paksi kepada hala tuju politik beliau. ‘Hala tuju politik Melayu-Islam’ Tun Mahathir harus lebih menonjol di Malaysia agar rakyat dapat menilai usaha murni tersebut berbanding kelantangan dalam isu-isu antarabangsa.

Downloads

Published

2021-09-30