PROSPEK PRODUK BAHARU AR-RAHNU YAPEIM SEBAGAI ALTERNATIF MIKRO KREDIT

Authors

  • Wan Naimah Wan Daud
  • Dr. Murni Binti Yusoff
  • Profesor Madya Dr. Zakaria Bin Bahari

Abstract

Ar-Rahnu YaPEIM adalah sebuah pajak gadai Islam di bawah institusi Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) yang semakin berkembang seiring dengan keperluan semasa. Bertepatan dengan situasi negara yang sedang berdepan dengan pandemik Covid-19, Ar-Rahnu YaPEIM dilihat telah dan sedang memainkan peranan yang proaktif dalam membantu kerajaan menawarkan perkhidmatan mikro kredit kepada golongan yang terkesan. Namun begitu, masih terdapat sebilangan masyarakat dalam kalangan muslim yang memilih gadaian konvensional untuk mendapatkan pinjaman mikro kredit bagi memenuhi kelangsungan hidup mereka. Oleh yang demikian, bagi menarik kecenderungan masyarakat kepada gadaian Islam, Ar-Rahnu YaPEIM telah memperkenalkan beberapa produk dan perkhidmatan baharu kepada pelanggan seperti Ar-Rahnu Prestij, Didik, Bisnes, Emas dan Care. Setiap produk ini mempunyai fungsi masing-masing dan ia tidak ditawarkan di mana-mana institusi Ar-Rahnu yang lain. Objektif utama kertas kerja ini adalah untuk menilai skop produk-produk baharu yang ditawarkan dan prospek Ar-Rahnu YaPEIM pada masa akan datang. Pendekatan kualitatif digunakan dalam kajian ini dengan menumpukan kepada kajian dokumen dan dianalisa menggunakan analisis tekstual. Dapatan kajian menunjukkan produk-produk baharu yang ditawarkan oleh Ar-Rahnu YaPEIM mempunyai objektif yang tersendiri yang dapat menarik lebih ramai masyarakat untuk memilih gadaian secara Islam. Pengkajian terhadap produk-produk baharu ini penting bagi meluaskan lagi fungsi Ar-Rahnu supaya dapat memenuhi keperluan masyarakat dalam pelbagai situasi.

Downloads

Published

2021-09-30