TAHAP KEWANGAN GOLONGAN BELIA ISLAM DI MALAYSIA SEMASA PANDEMIK COVID-19

Authors

  • Siti Sarah Omar
  • Shahir Akram Hassan

Abstract

Pandemik COVID-19 yang melanda dunia kini telah memberi pelbagai kesan. Antara sektor yang paling terkesan ialah sektor kesihatan dan ekonomi. Sepanjang tempoh pandemik ini, Kerajaan Malaysia telah melaksanakan sehingga 3 fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Terkini PKP 3.0 dikuat kuasakan bermula 1 Jun 2021 di seluruh Malaysia apabila kes positif harian hampir mencecah lima angka. Kesan daripada perintah ini, sebahagian besar industri ekonomi terpaksa dihentikan sementara waktu, dikecilkan skop operasi dan ada juga terpaksa ditutup, sekaligus menyebabkan golongan pekerja kehilangan sumber pendapatan. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), pengangguran di Malaysia meningkat daripada 508,200 orang pada 2019 kepada 711,000 orang pada 2020. Berdasarkan jumlah statistik ini telah menimbulkan tiga persoalan, Siapakah golongan yang terkesan akibat pandemik COVID 19? Adakah golongan belia Islam merupakan golongan majoriti penganggur di Malaysia? Apakah tahap kewangan peribadi golongan belia Islam di Malaysia semasa musim pandemik COVID-19? Oleh itu, bagi menjawab persoalan ini, kertas kerja ini mempunyai dua objektif. Pertama, mengenal pasti peratus penganggur belia Islam di Malaysia; dan kedua, menganalisis tahap kewangan golongan belia Islam di Malaysia. Kertas kerja ini menggunakan kajian dokumen dengan mengaplikasi kaedah kualitatif dan kemudiannya dianalisis dengan menggunakan kaedah analisis kandungan. Hasil penemuan telah menunjukkan golongan belia merupakan antara golongan utama yang terkesan akibat pandemik COVID-19 dan juga merupakan golongan penganggur tertinggi di Malaysia. Tahap kewangan majoriti golongan belia Islam di Malaysia pada tempoh pandemik berada pada tahap pertama dan kedua iaitu ketidakstabilan kewangan dan kewangan mencukupi. Selain daripada kerja-kerja sambilan harian yang dilakukan, beberapa skim bantuan dan insentif kerajaan dilihat sedikit sebanyak dapat membantu golongan belia meneruskan kelangsungan hidup dalam tempoh pandemik COVID-19.

Downloads

Published

2021-09-30