GAYA KEPIMPINAN TUN RAZAK MENJANA ASPIRASI CELIK MINDA POLITIK DALAM KALANGAN PELAJAR INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI DI MALAYSIA

Authors

  • Mohd. Sohaimi Esa
  • Romzi Ationg
  • Irma Wani Othman
  • Azlan Syafie Abdullah @ Raymond Majumah
  • Anna Lynn Abu Bakar
  • Mohd Kamal Mohd Shah
  • Muhammad Safuan Yusoff

Abstract

Tun Razak merupakan suatu nama besar yang tidak asing lagi dalam pesada kepimpinan negara. Namanya diabadikan sebagai Perdana Menteri Malaysia kedua, selepas Tunku Abdul Rahman, serta digelar sebagai Bapa Pembangunan Negara. Kepimpinannya terserlah kerana peranan dan sumbangannya dalam proses membina negara bangsa Malaysia. Sebagai seorang pemimpin, sumbangan beliau bukan sekadar memegang jawatan Perdana Menteri, tetapi sejak dirinya terlibat dalam politik sebelum zaman kemerdekaan lagi. Hal ini jelas apabila beliau terlibat dalam perjuangan UMNO sejak dari awal penubuhannya, serta pada masa yang sama menjadi pemimpin di peringkat negeri Pahang. Di peringkat persekutuan pula, beliau seorang pemimpin yang gigih sebaris dengan nama nama besar tanah air dalam perjuangan kemerdekaan negara dalam usaha membebaskan tanah air daripada British. Selepas merdeka, beliau terlibat dalam beberapa kementerian, serta berperanan penting dalam membina kelestarian negara yang berdaulat. Sumbangan dan jasanya terus segar dalam lipatan sejarah, serta sentiasa dikenang oleh rakyat sehingga kini. Persoalannya, apakah gaya kepimpinan tokoh tersohor ini sehingga menjadikan dirinya sebagai seorang negarawan? Bagaimanakah pula, gaya kepimpinannya boleh dijadikan aspirasi kepada pelajar di institusi pengajian tinggi dalam kancah politik kampus? Justeru itu, kertas kerja ini akan membincangkan gaya kepimpinan Tun Razak agar menjadi contoh dan tauladan kepada pelajar di menara gading agar berputik amalan demokrasi yang mapan dan jitu. Metod kajian dilakukan berdasarkan kaedah kualitiatif, yakni analisis dokumentasi berasaskan sumber primer dan sekunder. Menerusi perbincangan ini diharapkan akan dapat dijadikan pedoman dan ransangan kepada pembaca, khususnya pelajar di peringkat pengajian tinggi berkaitan dengan gaya kepimpinan berkualiti yang boleh dijadikan contoh daripada seorang negarawan negara, Tun Razak.

Downloads

Published

2021-06-30