ISU-ISU SOSIOEKONOMI DAN PERSEKITARAN DI PERKAMPUNGAN AIR DI SEMPORNA DAN KUDAT, SABAH

Authors

  • Jabil Mapjabil
  • Mohammad Kadir Zainal Abidin
  • Rosmiza M. Z.
  • Noorziah Mohd Salleh
  • Datu Razali Datu Eranza
  • Mazdi Marzuki

Abstract

Petempatan kampung air adalah bentuk petempatan tradisi yang terdapat di sebahagian besar pinggir pantai, pulau-pulau dan muara sungai di negeri Sabah. Petempatan kampung air sering kali dikaitkan dengan kawasan setinggan yang bermasalah atau black area. Meskipun ada dalam kalangan komuniti di kampung air adalah mereka yang berpendidikan, bekerja di sektor awam dan swasta, namun secara umumnya terdapat beberapa isu sosioekonomi yang dapat dikenal pasti. Antaranya, keterlibatan dalam sektor informal (berniaga di tepi jambatan kampung air atau di hadapan rumah serta berniaga kecil-kecilan di pekan), isu bekalan air dan elektrik serta isu kewarganaegaraan dan pendidikan anak-anak. Antara gejala sosial yang turut dikaitkan dengan perkampungan air ialah penyeludupan barangan (rokok, dadah dan barangan jualan runcit dari negara jiran), jenayah mencuri dan pecah rumah, penyalahgunaan dadah terutamanya syabu, pembunuhan, perjudian dan pelacuran. Berdasarkan kedudukan dan struktur rumah di atas air dan ada kalanya dibina secara tidak teratur, rapat-rapat dan hanya menggunakan titi kecil antara rumah, maka didapati isu persekitaran adalah agak kritikal terutamanya isu pembuangan sisa pepejal dan kumbahan, pembuangan sampah, pencemaran air laut dan pantai serta pencemaran bau dan pemandangan fizikal terutamanya pelancong dan pengunjung apatah lagi jika ia dibina berdekatan dengan pekan atau bandar. Untuk itu, kertas kerja ini akan meneliti isu sosiekonomi dan persekitaran berdasarkan tinjauan awal melalui pemerhatian penyelidik di Semporna dan Kudat.

Downloads

Published

2021-06-30