KEPERLUAN PEMENTORAN KEROHANIAN ISLAM RAKAN SEBAYA BERASASKAN MARHALAH DAKWAH FARDIYAH DI INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI: SATU TINJAUAN

Authors

  • Ummi Syarah Ismail
  • Noraini Ismail
  • Mardzelah Makhsin
  • Afiffudin Mohammed Noor
  • Zuraimy Ali
  • Amin Che Ahmat

Abstract

Pementoran rakan sebaya dalam sistem pendidikan merupakan salah satu program yang terbukti boleh membangunkan peribadi individu di peringkat sekolah dan universiti. Walaupun begitu, berdasarkan tinjauan literatur, pementoran kerohanian Islam di peringkat institusi pengajian tinggi masih kurang dilaksanakan berbanding kaedah pementoran yang lain. Justeru, artikel ini bertujuan untuk memaparkan hasil kajian tinjauan berkaitan keperluan pementoran kerohanian Islam rakan sebaya berasaskan marhalah dakwah fardiyah di institusi pengajian tinggi berdasarkan perspektif pelajar sebagai subjek dakwah dan tarbiah dalam persekitaran universiti. Seramai 258 pelajar daripada empat buah universiti awam zon utara dipilih secara rawak mudah sebagai responden kajian. Responden dikehendaki memberi respon terhadap 17 item yang berkaitan dengan pelaksanaan program pementoran kerohanian Islam rakan sebaya di universiti, keperluan pelaksanaan program pementoran kerohanian Islam rakan sebaya di universiti dan keperluan pendekatan dakwah fardiyah dalam pelaksanaan pementoran kerohanian Islam rakan sebaya di universiti. Soal selidik 5 skala likert digunakan sebagai instrumen kajian. Analisis statistik deskriptif menggunakan “Statistical Package for The Social Science Version 26.0†(SPSS 26.0) digunakan dalam melaporkan dapatan kajian. Hasil kajian menunjukkan bahawa secara keseluruhan pelaksanaan program pementoran rakan sebaya di universiti berada pada tahap sederhana (min = 3.22). Bagi pelaksanaan program pementoran kerohanian Islam rakan sebaya skor min adalah tinggi (min = 4.24). Begitu juga min bagi keperluan pendekatan dakwah fardiyah dalam pementoran kerohanian Islam rakan sebaya di universiti (min = 4.15). Kesimpulannya, berdasarkan perspektif pelajar, pelaksanaan program pementoran rakan sebaya di universiti perlu ditambah baik pelaksanaannya terutama dalam menerapkan elemen pembangunan kerohanian dan keagamaan. Para pelajar juga berpendapat pelaksanaan pementoran kerohanian Islam rakan sebaya berasaskan marhalah dakwah fardiyah adalah satu keperluan untuk dilaksanakan di universiti dalam usaha untuk membangunkan jati diri pelajar muslim dan seterusnya melahirkan modal insan yang holistik dan seimbang.

Downloads

Published

2021-06-30