IMPAK PENGETAHUAN DAN KESEDARAN IBUBAPA TERHADAP GAYA HIDUP DIGITAL DALAM KALANGAN REMAJA

Authors

  • Prof Madya Dr Che Hasniza Che Noh
  • Prof Dr Che Su Mustaffa
  • Dr Isma Rosila Ismail

Abstract

Perkembangan teknologi komunikasi dan maklumat mewujudkan fenomena masyarakat terhubung atau ‘connected’ yang mendatangkan pelbagai implikasi positif dan negatif. Statistik menunjukkan penyalahgunaan internet merupakan isu serius sama ada diperingkat global mahu pun di Malaysia. Lantaran semakin ramai rakyat Malaysia menjadi ‘netizens’ terutamanya kanak-kanak dan remaja, maka semakin tinggi keperluan untuk mendidik mereka untuk sentiasa berhati-hati, sensitif dan prihatin apabila berkongsi maklumat atas talian. Kanak-kanak dan remaja merupakan dua golongan yang paling terdedah kepada ancaman dan risiko berkaitan internet kerana jenayah siber boleh berlaku tanpa mengira di mana mereka berada, termasuk di dalam rumah sendiri. Ibubapa merupakan ‘institusi pertama’ untuk anak-anak mendapat latihan awal tentang bagaimana untuk menjadi ‘netizen’ yang bertanggungjawab terhadap diri dan komuniti digital. Sehubungan itu, satu kajian kualitatif telah dijalankan bertujuan mengenalpasti tahap pengetahuan dan kesedaran ibubapa tentang gaya hidup digital dalam kalangan remaja. Kajian ini melibatkan tigabelas responden yang terdiri dari ibu atau bapa yang mempunyai anak-anak remaja. Berdasarkan hasil kajian dapatlah dirumuskan bahawa responden menyedari isu penyalahgunaan internet adalah sesuatu yang membimbangkan, namun kurang mengetahui kaedah untuk mencegah dan menangani sekiranya anak-anak terlibat dengan jenayah siber. Kajian ini memberi implikasi bahawa usaha perlu giat dijalankan oleh pihak-pihak bertanggungjawab seperti mengadakan program pendidikan yang melibatkan ibubapa bertujuan memupuk kesedaran tentang kepentingan menjaga keselamatan anak-anak dalam talian. Kajian ini juga memberi implikasi bahawa tahap pengetahuan ibubapa masih perlu ditingkatkan kerana pembentukan masyarakat digital merupakan satu cabaran baharu yang perlu ditangani dengan teliti oleh pelbagai pihak termasuk masyarakat dan pembuat polisi agar masyarakat mampu bertingkahlaku secara bersesuaian seiring dengan perkembangan teknologi.

Downloads

Published

2021-05-31