GERBANG: POTENSI IDENTITI NEGERI DALAM IDEA GENERASI BAGI REKA BENTUK CENDERAMATA RASMI UNIVERSITI TEKNOLOGI MARA (UiTM) CAWANGAN KELANTAN

Authors

  • Nur Syafinaz Mohd Anuar
  • Mohd Zamani Daud
  • Mohd Faiz Jalaludin
  • Muhammad Shafiq Muda

Abstract

Penyelidikan ini dijalankan untuk mengenalpasti potensi pintu gerbang Istana Balai Besar sebagai identiti Negeri Kelantan dalam idea generasi bagi reka bentuk cenderamata rasmi UiTM Cawangan Kelantan (UiTMCK). Cenderamata rasmi yang digunakan sekarang adalah rekaan dari luar dan rekaan tersebut juga digunakan oleh kebanyakan jabatan kerajaan yang lain. Tujuan utama penyelidikan adalah untuk memperkenalkan UiTMCK melalui reka bentuk cenderahati rasmi baru yang mempunyai identiti tersendiri berbeza dengan institusi lain. Kaedah yang bersesuaian untuk diaplikasikan dalam penghasilan rekaan cenderamata adalah Model Double Diamond dari British Design Council yang mula diperkenalkan pada tahun 2005. Model ini mempunyai empat fasa utama iaitu: 1)Mencari, 2)Menentukan, 3)Membangunkan dan 4)Menyampaikan. Kaedah kuantitatif digunakan untuk mencapai matlamat penyelidikan. Maklum balas diperolehi melalui soalan survei secara atas talian terbahagi kepada 2 bahagian utama: Bahagian A: Tahap kriteria penilaian terhadap rekabentuk dan Bahagian B: Tahap kriteria penilaian terhadap produk. Hasil kajian berkaitan rekaan mendapati 4 indikator dipilih sebagai sangat setuju manakala kriteria terhadap produk, didapati purata memilih 3 indikator sebagai sangat setuju. Walaubagaimanapun semua berpendapat telesis wujud dengan jelas dalam rekaan ini. Cenderamata rasmi UiTMCK ini berjaya dikomersialkan sebanyak 120 unit dengan nilai RM19,500 dan telah mendapat hak cipta daripada MyIPO Januari 2020. Rekaan cenderamata ini telah berjaya merangkul pingat perak di iidex 2019 dan pingat emas di PIID2021. Penyelidikan berkaitan cenderamata rasmi seumpama ini berpotensi untuk dikomersialkan di semua cawangan UiTM yang lain dengan identiti negeri mereka sendiri.

Downloads

Published

2021-05-31