KEBERKESANAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN (PdP) SECARA PENDIDIKAN JARAK JAUH TERBUKA (ODL) BAGI PROGRAM DIPLOMA SENI LUKIS DAN SENI REKA DI FSSR UITM CAWANGAN KELANTAN

Authors

  • Muhammad Faiz Iskandah
  • Mohd Zamani Daud
  • Mohd Hakim Mohd Sharif
  • Nur Syafinaz Mohd Anuar

Abstract

Penyelidikan ini dijalankan untuk mengenal pasti tiga faktor utama iaitu, 1) Melihat kesediaan pelajar Jabatan Seni Reka Logam Halus (AD113) dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara pendidikan jarak jauh terbuka (ODL), 2) Mengenalpasti kriteria reka bentuk projek baharu bagi kursus JMD354 seiring dengan ODL dan 3) Mengukur kebolehcapaian pelajar bagi kursus JMD 354 yang dijalankan secara ODL. Kaedah kuantitatif digunakan untuk mencapai matlamat kajian dengan menggunakan survei atas talian untuk mengumpul maklumat dan menjawab tiga faktor utama di atas. Soal selidik merupakan instrumen kajian akan melibatkan pelajar tahun akhir Jabatan Seni Reka Logam Halus, Fakulti Seni Lukis & Seni Reka iaitu seramai 30 pelajar. Tujuan utama projek baharu ini direka untuk memastikan semua pelajar dapat menyiapkan projek yang ditugaskan serta memenuhi hasil pembelajaran program (PLO) dimana pelajar berkeupayaan merancang dan menjalankan proses fabrikasi reka bentuk produk. Fokus penyelidikan adalah melihat keupayaan pelajar menghasilkan projek baharu yang direka khusus iaitu teko teh untuk disesuaikan dengan proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara pendidikan jarak jauh terbuka (ODL). Hasil kajian mendapati projek baharu ini boleh dikategorikan sebagai amat berjaya kerana semua pelajar dapat menyiapkan semua tugasan yang diberikan dalam tempoh masa yang ditetapkan.

Downloads

Published

2021-05-31