RESILIEN KEUSAHAWANAN MAKANAN TRADISI SEBAGAI PRODUK PELANCONGAN DALAM TEMPOH PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN (PKP) SEPANJANG PANDEMIK COVID-19 DI NEGERI SABAH

Authors

  • Harifah Mohd Noor
  • Jabil Mapjabil
  • Adilah Md Ramli
  • Jurry Foo @ Jurry Bt F. Michael
  • Ubong Imang
  • Rima Abdul Rahman

Abstract

Sabah atau dikenali sebagai Negeri di Bawah Bayu adalah negeri yang kaya dengan pelbagai destinasi pelancongan yang terkenal di Malaysia dengan Gunung Kinabalu dan keindahan pantainya. Di samping itu, Sabah menawarkan kepelbagaian makanan tradisi yang menjadi salah satu sumber tarikan produk pelancongan. Pelancong akan diperkenalkan dengan makanan tradisi seperti kuih cincin, amplang, pinasakan dan hinava. Sebilangan besar produk makanan tradisional dan telah didaftarkan sebagai ahli Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (PKS). Namun, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia kerana penyebaran wabak COVID-19 mengakibatkan Sabah menghadapi penurunan drastik jumlah pelancong dan memberi kesan ekonomi kepada pengusaha produk makanan tradisi. Sehubungan itu, timbul persoalan sejauh mana resilien dan kelangsungan para pengusaha makanan tradisi di Sabah dalam menangani kemerosotan permintaan produk makanan tradisi. Apakah alternatif pemulihan yang boleh dilaksanakan dalam tempoh PKP dan seterusnya pasca COVID-19. Kajian ini menggabungkan pendekatan kuantitatif menggunakan instrumen kaji selidik, temu bual dan pemerhatian yang melibatkan sejumlah 100 pengusaha makanan dari pelbagai katogeri produk makanan. Penemuan mendapati kemerosotan pendapatan yang serius menjadi cabaran utama pengusaha. Ini adalah kerana modal semakin berkurangan dan kesukaran mendapatkan bekalan bahan mentah. Namun memberhentikan pekerja atau pengeluaran produk adalah alternatif terakhir pengusaha untuk menangani masalah kewangan. ‘geran berbentuk one off daripada kerajaan’ dan ‘mengubah norma strategi pemasaran’ adalah harapan utama untuk membantu para pengusaha. Kajian ini membuka ruang kepada pihak berkuasa untuk mengenal pasti daya tahan dan survival para pengusaha semasa dan selepas tempoh pandemik ini.

Downloads

Published

2020-10-31