POTENSI APLIKASI PENILAIAN IMPAK SOSIAL UNTUK MENILAI DASAR DAN PROGRAM KERAJAAN SEMASA PANDEMIK COVID-19

Authors

  • Romzi Ationg
  • Kursam Ongui
  • Gaim James Lunkapis
  • Rosazman Hussin
  • Colonius Atang

Abstract

Tujuan utama artikel ini adalah untuk memberikan penilaian awal mengenai potensi aplikasi Penilaian Impak Sosial untuk menilai dasar dan program negara yang digunakan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia. Dalam hal ini, Penilaian Impak Sosial adalah salah satu alat untuk mengenal pasti dan meramal potensi impak sosial daripada pelaksanaan dasar, program dan projek. Penilaian Impak Sosial ini telah digunakan secara meluas di seluruh dunia termasuk di Malaysia dan telah diluluskan untuk dilaksanakan oleh Parlimen Malaysia pada tahun 2016 melalui pindaan Akta Perancangan Bandar dan Desa 172, A1522. Akta ini telah diwartakan untuk dilaksanakan pada Januari 2017 dan hal ini memang diakui kesejahteraan masyarakat sering dibentuk melalui polisi kerajaan, program dan rancangan pembangunan negara. Oleh itu, adalah wajar impak sosial yang berpotensi daripada pelaksanaan dasar, program dan projek yang dilaksanakan dalam usaha menghentikan wabak COVID-19 di Malaysia harus dinilai dengan tepat semasa pelaksanaan. Bagi meningkatkan lagi pelaksanaan dan keberkesanan dasar, program dan projek. Pihak berkuasa seharusnya membuat Penilaian Impak Sosial terlebih dahulu yang mungkin memberi impak yang teruk dan negatif. Proses penilaian ini tidak semestinya mengambil masa yang lama kerana penilaian ini dapat dilaksanakan dengan menggunakan Rapid Social Impact Assessment (RSIA). Kaedah yang digunakan dalam proses ini adalah kualitatif iaitu melalui tinjauan kaedah yang tersedia untuk Penilaian Impak Sosial terhadap dasar negara, program dan projek bagi mengatasi pandemik COVID-19 di Malaysia. Dapatan awal dari penyelidikan ini menunjukkan bahawa kaedah yang sedia ada berpotensi untuk meramal impak sosial terhadap dasar kerajaan, program dan projek yang dilaksanakan untuk mengawal penyebaran wabak COVID-19 di Malaysia.

Downloads

Published

2020-10-31