PERWATAKAN PELAKU PEMBANGUNAN MELALUI TAMTHILIYYAT ALAM DALAM AL-QUR’AN

Authors

  • Nurul Farhana Yahaya

Abstract

Perwatakan manusia lahir daripada fungsi manusia diciptakan. Ia berbeza mengikut fungsi manusia tersebut. Manusia dalam pembangunan berteraskan Islam (PBI) berfungsi sebagai hamba dan khalifah Allah SWT berbeza dengan fungsi manusia dalam pembangunan lazim. Dalam pembangunan lazim, manusia sebagai makhluk ekonomi yang mengeluar dan mengguna semata-mata. Oleh sebab fungsi sebenar manusia sebagai pelaku pembangunan itu berbeza antara pembangunan lazim dengan PBI, maka sudah pasti manusia yang berperanan sebagai khalifah tersebut mempunyai sifat perwatakan yang tersendiri. Al-Qur’an juga ada memperihalkan perwatakan manusia dalam uslub tamthiliyyat (perumpamaan) yang bermaksud ayat-ayat yang memberi persamaan sesuatu perkara dengan perkara yang lain. Terdapat dua aspek perbandingan tersebut sama ada perbandingan dengan haiwan atau alam. Tamthiliyyat alam banyak menggambarkan perwatakan yang mahmudah berbanding tamthiliyyat haiwan. Persoalannya, apakah ayat-ayat tamthiliyyat alam mengenai perwatakan pelaku pembangunan yang terdapat dalam al-Qur’an? Bagaimanakah perwatakan pelaku pembangunan tersebut digambarkan menerusi tamthiliyyat alam tersebut? Bagi menjawab kedua-dua persoalan ini, kertas kerja ini mempunyai dua objektif utama. Pertama, mengenal pasti ayat-ayat tamthiliyyat alam berkaitan perwatakan pelaku pembangunan yang terdapat dalam al-Qur’an; dan kedua, menganalisis perwatakan pelaku pembangunan yang terdapat dalam ayat-ayat tamthiliyyat yang dikenal pasti itu. Kajian kepustakaan yang menggunakan kaedah tafsir al-mawdhu’iy ini mendapati perwatakan pelaku pembangunan dalam tamthiliyyat alam ini antaranya ialah benih yang bercambah diumpamakan dengan perwatakan suka berinfak, pohon yang kuat yang mempamerkan pelaku pembangunan yang berkata dengan baik dan kebun yang subur pula diumpamakan dengan perwatakan ikhlas dalam memberi.

Downloads

Published

2020-06-30