PROFIL DAN MOTIF PEMANCING DALAM PERTANDINGAN MEMANCING PERINGKAT TEMPATAN

Authors

  • Jabil Mapjabil
  • Muhammad Aidil Mustafa Kamal
  • Mohd Zulhalmi Ibrahim
  • Mohd Jirey Kumalah

Abstract

Kajian terhadap aktiviti memancing rekreasi masih kurang di Malaysia. Untuk itu, kajian pertandingan memancing di peringkat tempatan ini adalah signifikan dan relevan. Tujuan kajian ini adalah meneliti profil dan motif peserta yang terlibat dalam pertandingan memancing di peringkat tempatan dengan merujuk kajian kes di Kota Kinabalu dan Bongawan. Metode kajian yang digunakan ialah temu bual menggunakan borang soal selidik, temu bual tidak langsung dan pemerhatian di kawasan kajian. Dalam konteks profil pemancing, majoriti peserta pertandingan memancing tempatan menggunakan satu batang joran sahaja dan mementingkan jenama pancing tertentu serta mengutamakan kualitinya. Dari segi kos untuk membeli satu set pancing ialah RM300 ke bawah manakala kos untuk menyertai pertandingan memancing peringkat tempatan pula adalah RM200 dan ke bawah. Namun begitu, majoriti daripada mereka tidak menyertai mana-mana kelab memancing (85%). Untuk motif menyertai pertandingan memancing tempatan pula, faktor minat mencatatkan 4.37 iaitu skor min dalam kategori ‘sangat tinggi’. Terdapat tujuh faktor yang mencatatkan motif yang ‘tinggi’ (min 3.43 – 3.93), antaranya menyertai pertandingan kerana ada masa lapang, nilai hadiah dan bilangan kategori hadiah yang ditawarkan. Seterusnya, empat faktor dalam tahap ‘sederhana’ (min 3.12 – 3.28) seperti dorongan keluarga, yuran pertandingan berpatutan dan faktor reputasi penganjur. Namun begitu, kewujudan kelab memancing didapati adalah faktor terendah (2.58). Hasil kajian ini berpotensi dalam memberikan manfaat kepada komuniti sebagai suatu amalan cara hidup yang sihat, mampu menjana pendapatan lumayan kepada penganjur pertandingan serta dokumentasi berguna untuk aktiviti memancing rekreasi dan sukan memancing negara.

Downloads

Published

2020-06-30