FAKTOR PENUBUHAN MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ADAT ISTIADAT MELAYU KELANTAN (MAIK): SATU ULASAN

Authors

  • H. Y. Ahmad Mujahideen
  • I. Nur Syazwani

Abstract

Setiap negeri di Malaysia mempunyai institusi khusus yang menguruskan hal ehwal agama Islam. Di negeri Kelantan, terdapat sebuah institusi yang diberikan nama Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) telah ditubuhkan secara khusus untuk menguruskan hal ehwal agama Islam. Sebelum penubuhannya, telah timbul banyak permasalahan berkaitan hal ehwal agama Islam dalam masyarakat Islam Kelantan. Namun begitu, penubuhan institusi MAIK ini mempunyai beberapa faktor tertentu yang mendorong kepada penubuhannya bagi menyelesaikan masalah-masalah tersebut. Justeru, kajian ini membincangkan tentang faktor-faktor yang menyebabkan penubuhan MAIK sebagai sebuah institusi yang menguruskan hal ehwal agama Islam di negeri Kelantan dan seterusnya menyelesaikan permasalahan-permasalahan yang timbul sebelum penubuhannya. Kajian kepustakaan ini merupakan kajian kualitatif sepenuhnya yang menggunakan metode pengumpulan data dan penganalisisan data bagi memperoleh maklumat yang diperlukan dengan tepat dan pasti. Dapatan kajian ini menjelaskan bahawa terdapat lima faktor utama bagi penubuhan MAIK iaitu berlaku perubahan baharu ke arah kesedaran dan pemodenan dalam pemerintahan dan pentadbirannya; peristiwa pemberontakan Tok Janggut; keperluan masyarakat dalam aspek pendidikan, kebajikan dan agama; kemasukan warga asing dan permasalahan sosial dalam masyarakat; dan berlaku masalah kewangan dan percanggahan dalam pentadbiran di antara pemimpin agama dengan mufti. Akhirnya pada tanggal 24 Disember 1915 bersamaan 17 Safar 1334, MAIK dimasyurkan penubuhannya oleh KDYMM Sultan Muhammad Ke-IV. Penubuhan institusi MAIK ini telah memainkan peranan yang besar dalam menguruskan hal-hal yang berkaitan dengan urusan hal ehwal agama Islam dan juga memantapkan pentadbiran ke arah pembangunan Islam di negeri Kelantan.

Downloads

Published

2020-06-30