PANDANGAN ALAM ISLAM: ANALISIS DARI PERSPEKTIF SURAH AL-FATIHAH

Authors

  • Shaik Abdullah B. Hassan Mydin
  • Mohd Abbas Abdul Razak

Abstract

Pandangan alam Islam yang juga dikenali sebagai Tasawwur Islam merupakan suatu falsafah hidup manusia yang terkandung dalam al-Qur’an, al-Sunnah dan apa yang ditafsirkan oleh para ulama dari kedua-dua sumber utama Islam ini. Secara tamsilan suatu pandangan alam itu merupakan kanta melaluinya kita melihat dan menilai segala benda dan fenomena yang berlaku di sekitar kita. Berdasarkan dengan pergertian yang diberikan mengenai pandangan alam, maka yang menjadi fokus utama artikel ini adalah untuk meneroka lebih jauh lagi tentang pandangan alam Islam dari perspektif surah al-Fatihah yang merupakan intipati keseluruhan surah yang terkandung dalam al-Quran. Sebagai pengantar kepada tajuk utama penelitian ini, para peneliti akan membincangkan sepintas lalu tentang apa yang dimaksudkan dengan pandangan alam serta beberapa jenisnya yang pernah dan masih menjadi pegangan hidup masyarakat dunia. Penelitian ini juga sedikit sebanyak akan menyentuh perbezaan yang terdapat di antara pandangan alam Barat dan Islam. Mengenai pandangan alam dari perspektif Surah al-Fatihah, tumpuan akan diberikan pada tiga aspek utama dari surah tersebut; iaitu Tuhan, manusia dan alam. Para peneliti akan melihat hubungan ketiga-tiga aspek dari kacamata Islam. Adalah diharapkan bahawa penelitian ini akan menonjolkan peri pentingnya pandangan alam dalam hidup manusia, khususnya pandangan alam Islam yang agak komprehensif yang merangkumi kehidupan dunia dan akhirat, keperluan material dan spiritual, kehidupan individu dan bermasyarakat dan sebagainya. Sebagai kajian kualitatif, para peneliti akan guna pakai kaedah analisis kandungan dan tekstual dalam usaha menterjemah data yang akan diperolehi dari hasil karya ilmiah cendikiawan Islam silam dan para ahli dalam bidang pandangan alam kontemporari. Justeru itu para peneliti berpendapat bahawa pandangan alam Islam yang tulen yang bersumberkan al-Quran khususnya dalam surah al-Fatihah dapat membantu menangani salah faham Islam yang berlaku dewasa ini.

Downloads

Published

2019-09-30