KAJIAN TINJAUAN SUMBER PEMBELAJARAN AL-QURAN DALAM MASYARAKAT CINA MUSLIM DI MALAYSIA

Authors

  • Ma Yu Long
  • Syed Najihuddin Syed Hassan
  • Abdulloh Salaeh
  • Robiatul Adawiyah Mohd
  • Walid Mohd Said
  • Kabiru Goje
  • Nurul Izzatul Huda Mohamad Zainuzi

Abstract

Golongan mualaf merupakan mereka yang telah kembali kepada Islam. Oleh kerana mereka masih baru dengan agama Islam, mereka masih amat memerlukan bimbingan dan tunjuk ajar yang berterusan, terutamanya yang berkaitan dengan ajaran Islam dan pemahaman al-Quran. Oleh yang demikian, pendekatan dakwah terhadap mereka, perlu menepati kaedah yang sesuai dengan situasi dan persekitaran semasa mereka. Justeru, objektif kajian ini berteraskan dua elemen utama 1) mengenalpasti faktor pengislaman masyarakat cina muslim di Malaysia secara umum; dan 2) mengkaji sumber pembelajaran mereka terhadap al- Quran. Artikel ini turut menjelaskan sejarah migrasi dan faktor penghijrahan masyarakat cina dari Tanah Besar China ke Malaysia secara umum. Selain itu, penyelidik turut menyenaraikan beberapa dapatan kajian yang lain antaranya tempoh masa yang diambil oleh mereka mempelajari Islam sebelum bertukar kepada Islam, cabaran yang dihadapi selepas pengislaman mereka serta teknik pembelajaran yang digunakan untuk mempelajari al-Quran. Kajian ini menggunakan pendekatan kaedah kualitatif dengan menganalisis dokumen dan melaksanakan temubual separa struktur terhadap sekumpulan responden untuk mendapatkan data. Sesi temubual dijalankan terhadap beberapa orang responden yang telah dipilih daripada organisasi dakwah tertentu di tiga buah negeri. Hasil kajian mendapati antara faktor utama pengislaman mereka adalah kerana pergaulan sesama rakan serta ahli keluarga yang telah memeluk Islam, manakala sebahagian pula disebabkan oleh faktor perkahwinan. Dalam pada itu, golongan mualaf ini mempelajari al-Quran secara majoritinya melalui kelas agama yang dianjurkan oleh institusi dakwah dengan menggunakan buku Iqra’ sebagai permulaan dan cuba memahami ayat al-Quran melalui kitab tafsir. Tempoh masa yang diambil sebelum memeluk Islam serta cabaran yang dihadapi selepas pengislaman turut dijelaskan. Justeru, kajian ini diharapkan dapat mengenalpasti permasalahan dan kekurangan yang wujud dalam usaha untuk membantu golongan mualaf ini mendalami Islam.

Downloads

Published

2019-09-30