Antara hiburan dan pendidikan: Menilai transformasi media sosial sebagai medium pembelajaran era digital
Keywords:
Media sosial, hiburan, tanggapan perubahan, medium pendidikanAbstract
Umumnya media sosial pada masa kini dianggap sebagai platform hiburan dan diakses oleh semua lapisan masyarakat sama ada orang tua, remaja, orang bekerja mahupun pelajar. Namun begitu, walaupun ianya adalah platform perkongsian sosial, terdapat juga perkongsian berunsurkan pendidikan tidak formal yang mungkin boleh memberi manfaat kepada sebahagian pembaca atau pelajar yang gemar kepada platform ini. Berikutan perkembangan tersebut, penyelidikan ini memberi tumpuan kepada pola penggunaan media sosial dalam kalangan pelajar serta tanggapan mereka mengenai peranannya yang semakin berkembang dalam konteks pendidikan. Selain mengenal pasti peralihan fungsi platform digital daripada sumber hiburan kepada saluran memperoleh ilmu, kajian ini turut mengenal pasti hubungan antara penggunaan media sosial untuk urusan akademik dan aktiviti seharian dengan kebergantungan pelajar terhadap teknologi ketika berfikir. Kajian ini melibatkan pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) daripada dua institusi, iaitu Politeknik Tawau Sabah dan Politeknik Kuching Sarawak. Maklumat dikumpulkan menerusi soal selidik dan dianalisis menggunakan kaedah statistik deskriptif dan regresi linear. Dapatan kajian menunjukkan bahawa pencarian bahan berkaitan pelajaran merupakan antara aktiviti yang mendapat persetujuan tinggi daripada responden (skor min 4.128). Penggunaan platform yang sama untuk mendapatkan hiburan dan menimba pengetahuan turut memperoleh tahap persetujuan yang tinggi (skor min 4.284). Walau bagaimanapun, hasil analisis regresi linear menunjukkan tidak terdapat hubungan signifikan bagi hubungan tahap penggunaan media sosial dengan persepsi pelajar terhadap fungsinya sebagai saluran pendidikan. Dapatan ini memberikan maklumat yang boleh dijadikan pertimbangan oleh para pendidik dalam menilai kesesuaian media sosial sebagai pelengkap kepada aktiviti pengajaran dan pembelajaran, termasuk manfaat serta kekangan yang mungkin timbul daripada penggunaannya.










