Faktor-faktor yang mempengaruhi kepuasan penerima tajaan pendidikan zakat di institusi pengajian tinggi: Kajian empirikal di Lembaga Zakat Negeri Kedah
Keywords:
Zakat Pendidikan, Kepuasan Penerima, Kualiti Perkhidmatan, SERVQUAL`, Lembaga Zakat Negeri KedahAbstract
Pendidikan merupakan salah satu bidang utama dalam agihan zakat yang bertujuan membangunkan modal insan serta meningkatkan mobiliti sosial golongan asnaf. Seiring dengan peningkatan peruntukan zakat pendidikan, institusi zakat bukan sahaja perlu memastikan bantuan disalurkan secara berkesan, malah perlu menilai tahap kepuasan penerima terhadap kualiti perkhidmatan yang diberikan. Kajian ini bertujuan mengenal pasti faktor-faktor yang mempengaruhi kepuasan penerima tajaan pendidikan zakat di institusi pengajian tinggi di bawah pengurusan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK). Kajian menggunakan pendekatan kuantitatif melalui reka bentuk tinjauan dengan soal selidik berstruktur yang diedarkan kepada penerima tajaan pendidikan LZNK. Seramai 497 responden daripada populasi 887 orang telah dipilih sebagai sampel kajian. Data dianalisis menggunakan Statistical Package for the Social Sciences (SPSS) melalui analisis statistik deskriptif, ujian kebolehpercayaan, Korelasi Pearson dan Regresi Linear Berganda. Dapatan menunjukkan bahawa tahap kepuasan penerima berada pada tahap yang tinggi. Kesemua pemboleh ubah bebas iaitu kebolehpercayaan, kemudahan, layanan dan tindak balas mempunyai hubungan positif serta signifikan dengan kepuasan penerima. Analisis regresi menunjukkan bahawa kebolehpercayaan merupakan faktor paling dominan yang mempengaruhi kepuasan penerima, diikuti oleh layanan, kemudahan dan tindak balas. Kajian ini menyumbang kepada pengembangan literatur berkaitan pengurusan zakat pendidikan serta memberikan cadangan kepada institusi zakat untuk meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada penerima bantuan pendidikan.










