Pengoperasian konsep Tawarruq dalam Ar-Rahnu YaPEIM dan implikasinya terhadap usahawan mikro di Malaysia
Keywords:
Ar-rahnu YaPEIM, Konsep Tawarruq dan Usahawan MikroAbstract
Ar-rahnu YaPEIM merupakan salah satu institusi pajak gadai Islam di Malaysia yang menyediakan perkhidmatan pembiayaan mikro berlandaskan prinsip syariah. Antara usahanya dalam memenuhi kriteria patuh syariah, ia telah memperluaskan akses pembiayaannya kepada komuniti usahawan dengan mengadaptasi konsep tawarruq bagi menawarkan kemudahan kewangan yang lebih fleksibel. Kajian ini bertujuan untuk meneliti secara mendalam pelaksanaan skim ar-rahnu YaPEIM yang menggunakan konsep tawarruq berdasarkan dokumen-dokumen rasmi institusi, laporan tahunan dan kajian-kajian akademik terdahulu. Selain itu, kajian ini dijalankan adalah untuk menilai bagaimana pelaksanaan konsep ini memberi impak kepada pemerkasaan usahawan mikro yang patuh syariah. Pendekatan kualitatif melalui kaedah kajian dokumen secara mendalam menggunakan dokumen-dokumen primer dan skunder dilakukan bagi meneliti pengoperasian konsep tawarruq dan impaknya terhadap usahawan mikro. Hasil kajian menunjukkan bahawa pelaksanaan konsep tawarruq dalam ar-rahnu YaPEIM adalah selari dengan prinsip-prinsip fiqh muamalat dan telah diperincikan dengan jelas dalam dokumen operasi mereka. Walau bagaimanapun, analisis kandungan mendapati jurang yang masih wujud dari sudut pemahaman dan aspek pemantauan jangka panjang terhadap daya saing usahawan mikro. Kajian ini juga mengisi jurang dengan menawarkan analisis berasaskan dokumen yang bersifat reflektif dan mendalam terhadap pelaksanaan konsep tawarruq serta implikasinya dalam konteks pembangunan ekonomi mikro di Malaysia.