Cabaran dalam membangunkan pelancongan pintar di Perlis
Keywords:
Pelancongan Pintar, Cabaran Pelaksanaan, Teknologi Digital, Pengalaman PelancongAbstract
Pelancongan pintar merupakan satu pendekatan inovatif dan moden dalam industri pelancongan yang menggabungkan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) secara menyeluruh untuk mempertingkatkan pengalaman pelancong serta meningkatkan kecekapan dalam pengurusan destinasi pelancongan. Melalui penggunaan teknologi seperti Internet of Things (IoT), kecerdasan buatan (AI), aplikasi mudah alih, dan sistem maklumat geografi (GIS), pelancongan pintar membolehkan penyampaian maklumat yang lebih tepat, pantas, dan interaktif kepada pelancong. Namun begitu, Industri pelancongan tradisional menghadapi pelbagai cabaran seperti kekurangan maklumat tepat dan masa nyata kepada pelancong, pengurusan destinasi yang kurang efisien, serta kesukaran dalam mengawal aliran pelancong yang boleh menyebabkan kesesakan dan kerosakan alam sekitar. Selain itu, pengalaman pelancong sering kali terhad oleh kekangan teknologi dan kurangnya integrasi antara pelbagai perkhidmatan pelancongan. Keadaan ini menjejaskan kepuasan pelancong dan keberkesanan pengurusan destinasi, sekaligus mengurangkan daya saing destinasi pelancongan di peringkat global. Oleh itu, objektif kajian ini adalah untuk menjelaskan cabaran-cabaran yang dihadapi, dalam membangunkan pelancongan pintar di negeri Perlis. Perbincangan dalam kajian ini merujuk kepada cabaran yang telah dibincangkan dalam kajian literatur. Hasil penulisan kajian mendapati beberapa cabaran utama termasuklah kekurangan infrastruktur digital, kurangnya kesedaran dan penglibatan komuniti setempat, serta kelemahan dalam promosi destinasi secara digital. Kajian ini mencadangkan agar kerjasama antara agensi kerajaan, institusi pendidikan, dan pihak swasta diperkukuh, selain meningkatkan literasi digital dalam kalangan penduduk tempatan bagi menyokong pembangunan pelancongan pintar secara berkesan di Perlis.