Faktor tekanan akademik, sosial dan ekonomi dalam kalangan pelajar diploma Kejuruteraan Awam, Politeknik Kota Bharu
Keywords:
tekanan, faktor, pelajar, diploma kejuruteraan awam, politeknikAbstract
Tekanan atau stres dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi merupakan isu global yang semakin mendapat perhatian, terutamanya dalam konteks pencapaian akademik dan kesejahteraan pelajar. Dalam konteks tempatan, pelajar di Malaysia, khususnya mereka yang mengikuti program teknikal dan vokasional seperti Diploma Kejuruteraan Awam, sering berhadapan dengan cabaran kompleks yang menuntut tahap komitmen tinggi. Oleh itu, kajian ini bertujuan untuk mengkaji faktor tekanan dalam kalangan pelajar Diploma Kejuruteraan Awam di Politeknik Kota Bharu dari aspek akademik, sosial, dan ekonomi. Kajian ini menggunakan reka bentuk tinjauan dengan borang soal selidik sebagai instrumen pengumpulan data. Sampel terdiri daripada 139 orang pelajar Diploma Kejuruteraan Awam di Politeknik Kota Bharu. Hasil kajian mendapati bahawa faktor akademik merupakan faktor tekanan yang dominan dalam kalangan pelajar Diploma Kejuruteraan Awam di Politeknik Kota Bharu, dengan nilai min tertinggi (M = 3.06) berbanding faktor ekonomi (M = 2.80) dan faktor sosial (M = 2.64). Secara keseluruhannya, dapatan kajian menunjukkan bahawa faktor akademik, sosial dan ekonomi dalam kalangan pelajar Diploma KejuruteraanAwam di Politeknik Kota Bharu berada pada tahap sederhana.