Hubungan antara sikap dengan amalan kitar semula dalam kalangan penduduk Tanjong Malim: Kajian kes
Keywords:
Kitar semula, sikap, amalanAbstract
Peningkatan penduduk yang seiring dengan pertambahan masa ini menyebabkan sisa pepejal di kawasan sekitar juga bertambah. Satu usaha perlu dilakukan bagi mengelakkan masalah yang berkaitan dengan pengurusan sisa pepejal ini. Kitar semula merupakan satu usaha mengumpul, memproses dan mengguna semula bahan-bahan yang telah digunakan. Fokus kajian ini ialah sikap dan tingkah laku masyarakat, yang merupakan komponen penting dalam pengurusan kitar semula. Kajian ini dijalankan untuk mengkaji hubungan antara sikap dengan amalan kitar semula dalam kalangan masyarakat. Kajian berbentuk bukan eksperimental ini menggunakan pendekatan kuantitatif bagi mendapatkan data dan melibatkan 30 orang penduduk yang tinggal di sekitar Tanjong Malim, Perak. Instrumen borang soal selidik atas talian (Google Forms) dan temu bual telah digunakan untuk mendapatkan data kajian dengan sedalamnya. Temu bual dilakukan di Pusat Pembelajaran dan Kitar Semula untuk mendapatkan maklumat tentang sikap masyarakat terhadap amalan kitar semula. Hasil kajian mendapati sebahagian daripada masyarakat melakukan amalan kitar semula secara rutin dengan menghantar barang-barang yang tidak terpakai ke pusat tersebut dan masih terdapat segelintir masyarakat yang perlu diberikan lagi kesedaran akan hal ini. Kesimpulannya, keadaan ini menunjukkan adanya hubungan antara sikap dan amalan kitar semula dalam kalangan penduduk di bandar Tanjong Malim, Perak.