Gelagat pematuhan cukai dalam kalangan pelajar: Kajian dalam kalangan pelajar jabatan Perdagangan Politeknik Kuching Sarawak
Tax compliance behaviour among students: A study among students of the department of commerce, Politeknik Kuching Sarawak
Keywords:
Gelagat, pematuhan cukai, pelajarAbstract
Cukai merupakan antara sumber kewangan terbesar kepada negara. Namun begitu, banyak laporan menunjukkan ramai orang culas dan mengelak untuk membayar cukai. Biasanya mereka yang mempunyai persepsi atau sikap negatif tentang cukai, kemungkinan merekalah juga yang akan menjadi kumpulan yang culas dalam membayar cukai. Oleh yang demikian, kajian ini dijalankan dengan tiga objektif iaitu (1) menilai sikap pelajar berkaitan kewajipan membayar cukai, (2) mengenal pasti tahap kecenderungan pelajar untuk mengelak pembayaran cukai pada masa hadapan dan (3) mengenal pasti hubungan antara sikap berkaitan kewajipan membayar cukai terhadap kecenderungan pelajar untuk mengelak pembayaran cukai pada masa hadapan. Data kajian diperolehi melalui teknik pensampelan rawak manakala responden kajian merupakan pelajar dari Jabatan Perdagangan di Politeknik Kuching Sarawak. Instrumen yang digunakan adalah borang soal selidik yang menggunakan skala likert lima mata yang diedarkan secara dalam talian menggunakan Google Form. Data kajian dianalisis dengan menggunakan teknik deskriptif dan regresi linear. Hasil kajian mendapati bahawa majoriti pelajar mempunyai sikap positif berkaitan kewajipan membayar cukai. Dapatan kajian juga menemukan majoriti pelajar mempunyai kecenderungan yang tinggi untuk menjadi pembayar cukai. Selain itu, berdasarkan dapatan kajian apabila pelajar mempunyai sikap positif mengenai cukai maka ia akan dapat meningkatkan kecenderungan untuk membayar cukai pada masa akan datang. Kajian ini penting untuk meramal gelagat pembayaran cukai pada masa hadapan dan menyusun program-program untuk memberi kefahaman tentang kepentingan cukai kepada negara.