PEMBANGUNAN PELAJAR MELALUI AKTIVITI KEROHANIAN: KAJIAN KES DI POLITEKNIK METRO BETONG SARAWAK
Abstract
Pembangunan pelajar melalui aktiviti kerohanian mempunyai pengertian dalam menterjemah dan mengamalkan ajaran agama secara komprehensif dengan cara berfikir, bercakap, bertingkahlaku, menetapkan prinsip, keputusan dan tindakan dalam segenap aspek kehidupan dengan berumbikan pengetahuan dan kefahaman agama. Dalam konteks pembangunan pelajar di Politeknik, penghayatan agama merupakan salah satu elemen sampingan kerana fokus institusi TVET menjurus kepada kemahiran teknikal dan vokasional yang menjadi teras dalam mempengaruhi kualiti peribadi seseorang pelajar. Selain itu, cabaran Politeknik METrO yang berlokaliti ditengah-tengah pusat bandar dan tidak berkampus, secara tidak langsung ia akan mempengaruhi pembentukan nilai insan dengan meraikan segala unsur yang ada pada persekitarannya dari segi mental, fizikal, emosi dan spiritual. Justeru, kaedah kualitatif fenomenologi digunakan untuk mengenalpasti amalan-amalan religiositi yang dilaksanakan oleh para pelajar berpandukan Teori Penglibatan Astin (1984). Penulisan ini terbentuk hasil daripada beberapa siri temu bual separa berstruktur, analisis kajian lepas dan kaedah pemerhatian bukan penyertaan di dalam meneliti amalan religiositi yang dipraktikkan. Hasil kajian mendapati bahawa pembangunan pelajar yang efektif terhasil melalui penglibatan para pelajar secara aktif terhadap aktiviti-aktiviti kerohanian melalui penghayatan agama. Selain itu, kajian ini juga dapat dimanfaatkan untuk kegunaan institusi pendidikan dalam membangunkan pelajar yang seimbang dari sudut akademik dan ukhrawi.