LATIHAN INTERVAL DALAM MENINGKATKAN DAYA TAHAN KARDIOVASKULAR PEMAIN RAGBI
Abstract
Daya tahan kardiovaskular dalam sukan ragbi merujuk kepada kemampuan pemain untuk bermain dengan tahap kecergasan fizikal yang optimum sepanjang tempoh permainan. Daya tahan kardiovaskular memainkan peranan penting dalam menentukan tahap prestasi keseluruhan seorang pemain dalam permainan ragbi. Seorang pemain yang mempunyai daya tahan kardiovaskular yang baik dapat mengekalkan kecergasan diri mereka sepanjang tempoh permainan. Tujuan kajian ini adalah untuk mengenalpasti keberkesanan latihan interval terhadap prestasi kecergasan daya tahan kardiovaskular pemain ragbi bawah 15 tahun daerah Jeli. Subjek kajian terdiri daripada 30 orang pemain ragbi bawah 15 tahun daerah Jeli. Kajian ini menggunakan kaedah reka bentuk kuantitatif melalui kaedah reka bentuk kajian eksperimental. Subjek kajian dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu kumpulan kawalan dan kumpulan eksperimen. Ujian pra dan pasca telah dijalankan kepada semua responden. Kajian ini juga menggunakan ujian larian 2.4km sebagai instrumen kajian bagi mengenalpasti tahap kecergasan responden sebelum dan selepas melaksanakan latihan interval. Nilai skor ujian-t yang diperoleh bagi Ujian Pra adalah -2.5 dan bagi Ujian Pasca adalah -3.0. Selain itu, nilai p bagi Ujian Pra adalah 0.02 manakala bagi Ujian Pasca adalah 0.001. Hasil analisis menunjukkan bahawa terdapat perubahan yang signifikan dalam prestasi kecergasan daya tahan kardiovaskular pemain ragbi bawah 15 tahun daerah Jeli selepas menjalani latihan interval