AMALAN HIJAU DALAM KALANGAN PELAJAR POLITEKNIK KUCHING HASIL MEMPELAJARI KURSUS DUG 30023 GREEN TECHNOLOGY COMPLIANCE
Abstract
Langkah permulaan untuk mengamalkan gaya hidup hijau perlu dilaksanakan bagi memberi kesedaran kepada setiap individu dalam pelbagai lapisan umur. Melalui pendidikan, ia merupakan strategi penting bagi memberikan pengetahuan dan kesedaran kepada individu untuk menjadi lebih peka kepada pembangunan lestari. Selain itu, pendidikan juga dapat mengubah tingkah laku dan menjadikan masa depan yang lebih lestari dari aspek ekonomi, integriti alam sekitar serta masyarakat yang bertanggungjawab bagi memastikan alam sekitar sentiasa dipelihara. Hal ini menunjukkan pendidikan sebenar berpontensi dalam mempromosikan pembangunan lestari serta memupuk sikap cinta kepada alam sekitar yang dapat membantu masyarakat mengatasi masalah persekitaran yang semakin meningkat. Kesedaran menjaga dan memulihara alam sekitar melalui pendidikan merupakan agen perubahan yang paling berpengaruh dalam masyarakat untuk mempertingkatkan pembangunan mampan dan memperbaiki keupayaan manusia dalam menangani isu-isu alam sekitar dan pembangunan. Di Politeknik, terdapat kursus yang menekankan penjagaan alam sekitar dan kesan-kesan yang boleh berlaku sekiranya tidak dipandang serius. Melalui kursus ini, pelajar didedahkan dengan amalan hijau serta kesan-kesan yang telah dan akan terjadi jika amalan gaya hidup hijau tidak dihiraukan dan hanya sekadar pendidikan sehala sahaja. Justeru itu, apabila pelajar-pelajar diberi pengetahuan tentang maklumat dan isu alam sekitar, secara tidak langsung kecenderungan untuk mengamalkan amalan hijau adalah lebih tinggi walaupun pada permulaannya hanya amalan yang ringkas. Kajian ini dilakukan di Politeknik Kuching Sarawak yang mana melibatkan pelajar dari Program Diploma Geomatik dan Diploma Pengurusan Perniagaan yang mengambil kursus DUG30023 Green Technology Compliance. Kajian ini dapat merungkai hasil selepas mempelajari kursus DUG30023 Green Technology Compliance yang dapat diamalkan dalam kehidupan seharian mereka.