PENGARUH PENDAPATAN KELUARGA TERHADAP MASALAH KEWANGAN PELAJAR
Abstract
Prestasi kewangan pelajar baru-baru ini menjadi topik yang semakin diminati dalam kalangan penyelidik. Ini kerana pelajar yang mempunyai masalah kewangan yang memberi kesan kepada kesejahteraan kognitif, emosi dan prestasi akademik mereka. Salah satu faktor yang perlu dilihat dalam menentukan prestasi kewangan pelajar adalah latar belakang kewangan pelajar. Justeru itu, objektif kajian ini dijalankan adalah untuk mengenal pasti hubungan antara latar belakang kewangan ibu bapa pelajar dengan masalah kewangan pelajar. Sampel kajian adalah dalam kalangan pelajar Politeknik Metro Betong Sarawak. Instrumen soal selidik digunakan untuk mengumpul data dan diedarkan secara rawak dalam talian. Sebanyak 147 responden dalam kalangan pelajar yang mengambil diploma telah menjawab soal selidik kajian. Data yang di kumpul dianalisis menggunakan SPSS untuk mendapatkan statistik deskriptif. Daripada keputusan tersebut, tidak terdapat hubungan yang signifikan antara latar belakang kewangan ibu bapa pelajar dengan prestasi kewangan pelajar. Kajian ini menjelaskan pentingnya pengurusan kewangan yang betul dalam kalangan pelajar di samping merangka jenis bantuan bagi kumpulan pelajar yang terkesan akibat daripada ketidakmampuan keluarga pelajar.