HUBUNGAN ANTARA MOTIVASI PENYERTAAN SUKAN DAN PRESTASI AKADEMIK DALAM KALANGAN PELAJAR SEKOLAH MENENGAH
Abstract
Bersukan atau melibatkan diri dengan aktiviti fizikal amat baik untuk kesihatan fizikal dan mental serta menjadi penting dalam kalangan masyarakat. Bersukan mampu menyuntik motivasi seseorang sebagai salah satu gaya hidup sihat yang bebas daripada penyakit kronik dan masalah obesiti. Penglibatan pelajar dalam sukan bukan hanya sebagai profesional namun satu kepentingan yang besar untuk pendidikan dan kesihatan. Namun, dapatan daripada kajian lepas mendapati bahawa prestasi kokurikulum pelajar berada pada tahap rendah secara keseluruhannya sehingga memberi kesan terhadap pencapaian akademik dan tahap kecergasan pelajar berada pada tahap sederhana. Maka, kajian ini bertujuan untuk mengenalpasti hubungan antara motivasi penyertaan sukan dan prestasi akademik dalam kalangan pelajar sekolah menengah. Borang soal selidik kajian diedarkan dalam bentuk dwibahasa secara dalam talian. Instrumen yang digunakan dalam kajian ini adalah Sport Participation Motivation (PMQ) dan Academic Performance Scale (APS) melalui pendekatan student involvement theory. Seramai 373 orang responden dipilih menggunakan persampelan secara rawak mudah yang terdiri daripada pelajar sekolah menengah di daerah Kota Tinggi, Johor. Dapatan kajian menyatakan skor min paling tinggi dalam motivasi penyertaan sukan adalah keseronokkan dengan (M = 4.44, SP = .78) dan skor min paling rendah adalah pencapaian dengan nilai (M = 4.03, SP = .70). Seterusnya, dapatan kajian mendapati terdapat perbezaan yang signifikan motivasi penyertaan sukan dalam kalangan pelajar sekolah menengah berdasarkan jantina iaitu (U = 13214.000, p = <.001). Hasil kajian juga menunjukkan terdapat hubungan yang signifikan iaitu positif antara motivasi penyertaan sukan terhadap prestasi akademik, (r = 0.596, p = <.001). Analisis deskriptif, Mann Whitney-U dan korelasi Spearman’s Rho digunakan dalam kajian ini. Kesimpulannya, pengkaji dapat menyimpulkan bahawa aspek dalam motivasi penyertaan sukan mempunyai hubungan terhadap prestasi akademik pelajar dan perlu ditambahbaik pada masa hadapan dan merangka program yang bersesuaian bagi menarik minat dan mengekalkan gaya hidup yang aktif pelajar seiring dengan potensi akademik yang lebih cemerlang.