IKLIM ORGANISASI SEKOLAH DAN KEBERKESANAN LATIHAN DALAM PERKHIDMATAN SEBAGAI FAKTOR PERAMAL KEPADA KOMPETENSI PENGAJARAN GURU MUZIK SEKOLAH RENDAH DI ZON TENGAH SEMENANJUNG MALAYSIA
Abstract
Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti pengaruh faktor iklim organisasi sekolah dan keberkesanan latihan dalam perkhidmatan (LDP) terhadap kompetensi pengajaran guru muzik sekolah rendah zon tengah, Semenanjung Malaysia. Selain itu, tahap setiap pemboleh ubah hubungan dan pengaruh antara ketiga-tiga pemboleh ubah juga dikaji. Pendekatan kuantitatif yang menekankan reka bentuk kajian korelasi digunakan dalam kajian ini di mana data dikumpul menggunakan soal selidik. Seramai 315 guru muzik dari zon tengah Semenanjung Malaysia terlibat berdasarkan pensampelan kelompok pelbagai peringkat. Instrumen kajian yang digunakan untuk mengukur iklim organisasi sekolah, keberkesanan LDP, dan kompetensi pengajaran guru muzik adalah adaptasi daripada Organizational Climate Description Questionnaire for Elementary School (OCDQ-RE) oleh Hoy, Tarter, dan Kottkamp (1991), Penilaian Kirkpatrick (1994) dan Music Teachers Competence Assessment Sheets (MTCAS) oleh Adeola (2019). Data yang diperolehi dianalisis menggunakan statistik deskriptif seperti min, sisihan piawai, dan peratusan serta statistik inferens korelasi dan regresi bagi menjawab persoalan kajian yang telah dibentuk. Hasil analisis deskriptif setiap pemboleh ubah menunjukkan iklim organisasi sekolah (M=2.835, SP=0.263), keberkesanan LDP (M=3.863, SP=0.608), dan kompetensi pengajaran (M=2.857, SP=0.603). Manakala, hasil analisis inferens menunjukkan iklim organisasi sekolah dan keberkesanan LDP mempunyai hubungan yang sederhana kuat (r=0.359, p<0.01 dan r=0.490, p<0.01) serta terdapat pengaruh positif yang signifikan (=0.058) terhadap kompetensi pengajaran guru muzik. Kajian ini diharapkan dapat membantu pihak sekolah dan Kementerian Pendidikan Malaysia dalam meningkatkan usaha ke arah penyediaan guru muzik sekolah rendah yang lebih kompeten dalam merealisasikan matlamat pendidikan negara dan memberi nilai tambah dalam pentadbiran pendidikan.