PENGGUNAAN TEKNIK PENSTRUKTURAN KOGNITIF BERDASARKAN NEO-CBT TERHADAP POLA PEMIKIRAN DAN TINGKAH LAKU INDIVIDU KECELARUAN BIPOLAR
Abstract
Kajian ini bertujuan mengkaji pola pemikiran dan tingkah laku individu kecelaruan bipolar menggunakan teknik berdasarkan Neo-CBT. Kajian berbentuk kualitatif ini menggunakan kajian kes intrinsik. Peserta kajian dalam kajian ini adalah seramai enam orang iaitu dua orang didiagnos sebagai Bipolar Kategori I dan empat orang didiagnos sebagai Bipolar Kategori II. Temu bual klinikal protokol menggunakan kaedah separa berstruktur. Soalan temubual klinikal protokol telah memperoleh kesahan pakar seramai 22 orang pakar yang terdiri daripada pakar perunding psikiatri, pakar perubatan keluarga, pakar psikologi klinikal dan lain-lain. Data kajian dianalisis menggunakan analisis tematik daripada Atlas.ti 9. Objektif pertama adalah meneroka pola pemikiran individu kecelaruan bipolar yang mengalami simptom kecelaruan bipolar. Objektif kedua adalah meneroka proses mengaplikasikan teknik penstrukturan kognitif dan terapi tingkah laku untuk mengurangkan simptom kecelaruan bipolar. Objektif ketiga adalah meneroka kesan teknik penstrukturan kognitif berdasarkan Neo-Cognitive Behavioral Therapy ke atas pola pemikiran dan tingkah laku individu kecelaruan bipolar. Dapatan kajian bagi persoalan kajian pertama telah memperoleh enam subtema, manakala persoalan kajian kedua memperoleh enam subtema dan persoalan kajian ketiga memperoleh dua subtema. Rumusan kajian ini mendapati bahawa individu yang mengalami kecelaruan bipolar mempunyai pola pemikiran yang tidak rasional dan teknik penstrukturan kognitif berdasarkan Neo-CBT dapat mengurangkan gelaja kecelaruan bipolar yang dihadapi. Implikasi kajian ini dapat memberikan alternatif penggunaan teknik penstrukturan kognitif untuk diaplikasi kepada professional kesihatan mental seperti pakar psikiatri, psikologi dan kaunselor dalam membantu individu kecelaruan bipolar.