ISU PERBELANJAAN DALAM KEHIDUPAN PELAJAR B40 DAN KECENDERUNGAN PELAJAR UNTUK TERLIBAT DALAM KEUSAHAWANAN
Abstract
Dunia kini menghadapi kesan inflasi yang sangat tinggi akibat pertambahan perkhidmatan dan bekalan sejak ekonomi dibuka semula. Dari semasa ke semasa inflasi akan meningkatkan kos sara hidup sama ada di bandar atau luar bandar. Hal ini secara tidak langsung memberi kesan kepada mahasiswa di Institusi Pengajian Tinggi. Kebanyakan pelajar bergantung sepenuhnya dengan bantuan pinjaman pendidikan atau biasiswa sepanjang mereka berada di institusi. Kebanyakan pelajar B40 adalah antara yang paling terkesan akibat ketidaktentuan ekonomi pada masa kini. Kajian ini bertujuan untuk menilai tahap kesukaran perbelanjaan dan tahap kecenderungan pelajar untuk terlibat di dalam keusahawanan pelajar B40. Responden yang diambil dari kajian ini adalah melibatkan pelajar dari Kolej Komuniti Negeri Sabah. Kolej yang terlibat adalah Kolej Komuniti Sandakan, Kolej Komuniti Tawau, Kolej Komuniti Semporna, Kolej Komuniti Beaufort, Kolej Komuniti Tambunan, Kolej Komuniti Kota Marudu dan Kolej Komuniti Penampang. Bilangan responden yang diambil adalah seramai 205 orang pelajar. Instrumen yang digunakan untuk mendapatkan data adalah menggunakan borang soal selidik menggunakan google form. Data yang diperolehi akan dianalisis dengan menggunakan perincian Statistical Package for Social Sciences (SPSS) secara deskriptif. Dapatan kajian mendapati majoriti responden yang mempunyai masalah perbelanjaan adalah dari kalangan pelajar B40. Disebabkan ini ramai pelajar selalu membandingkan harga barang sebelum membeli (skor min 4.30) dan pelajar selalu membeli keperluan asas sahaja (skor min = 3.98). Selain daripada itu, tahap kecenderungan pelajar B40 adalah pada tahap sederhana untuk terlibat di dalam keusahwanan. Hasil dapatan tersebut menunjukkan masih ramai pelajar kurang berminat untuk menceburkan diri di dalam bidang keusahawanan sebagai kerjaya. Justeru itu semua pihak perlu merangka kaedah yang sesuai dan melaksanakan program bagi membantu pelajar-pelajar miskin meneruskan pengajian di institusi. Selain daripada itu, program pendidikan dan pembudayaan keusahawanan perlu dipertingkatkan di peringkat institusi bagi meningkatkan minat kerjaya di dalam bidang keusahawanan.