STRUKTUR SUKU KATA BAHASA ARAB
Abstract
Struktur suku kata membentuk komponen pembahagian fonologi kata yang tertumpu kepada segmen perkataan yang boleh disebut dan bagaimana ia disusun dan dibahagikan. Struktur suku kata juga merupakan subbahagian fonotaktik, atau peraturan pembahagian bunyi dan urutan bunyi yang spesifik dalam sesuatu bahasa. Perbahasan suku kata Bahasa Arab telah banyak diketengahkan dalam kajian oleh pengkaji lain. Namun begitu, tafsiran dan perbincangan secara menyeluruh merangkumi ulasan teoretis belum cukup diketengahkan secara terperinci. Oleh kerana Bahasa Arab merupakan antara bahasa yang banyak dipinjam kosa katanya dalam kosa kata Bahasa Melayu, justeru kajian ini wajar diketengahkan. Oleh itu, artikel ini diketengahkan bagi memberi pendedahan kepada pembaca dan pengkaji mengenai aspek suku kata yang mencakupi dari segenap aspek seperti pola suku kata, jenis suku kata, hierarki suku kata dan bebanan suku kata. Kajian kualitatif ini merupakan kajian pengenalan kepada struktur suku kata Bahasa Arab yang akan dijelaskan secara deskriptif. Kajian ini menggunakan kaedah analisis kandungan yang melibatkan rujukan bahan daripada sumber primer seperti buku-buku berbahasa Arab yang membincangkan tentang struktur suku kata Bahasa Arab dan rujukan sumber sekunder seperti artikel, tesis, buku-buku ilmiah dan prosiding. Kajian mendapati struktur suku kata Bahasa Arab dapat dibahagikan kepada enam bentuk utama. Pembahagian suku kata ini bergantung kepada tiga syarat iaitu; setiap suku kata mestilah mempunyai bunyi vokal, setiap suku kata mestilah dimulakan dengan satu bunyi konsonan dan suku kata boleh menjadi suku kata terbuka dan suku kata tertutup. Kajian ini boleh dimanfaatkan oleh pengkaji yang menjalankan kajian linguistik secara umumnya dan kajian fonologi secara khusus terutamanya melibatkan kajian kata pinjaman Arab atau fonologi Bahasa Arab. Selain itu, kajian ini boleh juga dimanfaatkan oleh pendidik bagi menjelaskan kepada para pelajar dalam sesi pengajaran dan pembelajaran suku kata Bahasa Arab di dalam bilik kuliah.