KESEDIAAN KE ARAH MENJADI AKAUNTAN PROFESIONAL: KAJIAN KE ATAS PELAJAR PERAKAUNAN
Abstract
Untuk menjadi akauntan bertauliah atau akauntan profesional, seseorang perlu mempunyai sijil profesional. Oleh yang demikian objektif penyelidikan ini adalah untuk menilai tahap kesediaan pelajar Diploma Perakaunan untuk mendapatkan sijil profesional sebagai persediaan ke arah menjadi akauntan profesional. Kajian ini menggunakan kaedah kuantitatif untuk membentangkan analisis deskriptif berkaitan dengan kesediaan pelajar untuk mendapatkan sijil perakaunan profesional. Sampel kajian ini adalah seramai 262 pelajar perakaunan di Politeknik Kota Kinabalu. Data diperoleh daripada soal selidik dengan menggunakan teknik pensampelan rawak mudah. Dapatan kajian menunjukkan bahawa ramai pelajar bersedia untuk mendapatkan sijil profesional disebabkan pelbagai faktor. Berdasarkan kepada nilai purata min, tahap kesediaan mereka adalah pada tahap sederhana. Hasil penyelidikan ini diharapkan dapat memberi gambaran kepada program perakaunan di Politeknik Malaysia dan badan profesional seperti Institut Akauntan Bertauliah untuk merangka strategi untuk mencapai bilangan akauntan yang dikehendaki di negara ini. Di samping itu, agensi kawal selia boleh menggunakan penemuan ini sebagai asas untuk membangunkan dasar yang boleh membimbing pelajar-pelajar Institusi Pengajian Tinggi agar berada di atas landasan yang betul. Badan profesional juga boleh menggunakan penemuan ini sebagai asas untuk menjadikan profesion perakaunan ini lebih menjadi pilihan.