PELAKSANAAN PENDEKATAN PROJEK TERHADAP KEMAHIRAN BERFIKIR ARAS TINGGI (KBAT) KANAK-KANAK PRASEKOLAH
Abstract
Kajian ini bertujuan untuk mengkaji pelaksanaan pendekatan projek terhadap Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) kanak-kanak prasekolah berdasarkan empat tahap pemikiran kemahiran berfikir aras tinggi iaitu mengaplikasi, menganalisis, menilai dan mencipta. Kajian ini dijalankan secara kualitatif menggunakan reka bentuk kajian kes. Kajian ini menggunakan kaedah persampelan bertujuan melibatkan seorang guru berserta 13 orang kanak-kanak di sebuah prasekolah swasta di negeri Perak. Data kajian diperoleh menerusi pemerhatian, analisis dokumen dan temu bual terhadap peserta kajian. Data dianalisis menggunakan kaedah analisis naratif dan analisis kandungan. Hasil kajian menunjukkan empat tahap kemahiran berfikir aras tinggi iaitu mengaplikasi, menganalisis, menilai dan mencipta dapat dilaksanakan kepada kanak-kanak melalui pelaksanaan pendekatan projek. Dapatan kajian menunjukkan kanak-kanak dapat menggunakan pengetahuan sedia ada, kemahiran yang diperolehi dan nilai dalam aktiviti yang berlainan bermula fasa pertama sehingga fasa terakhir iaitu fasa kemuncak. Implikasi kajian ini dapat menggalakkan semua prasekolah kerajaan mahupun swasta menjalankan pendekatan projek agar kemahiran berfikir aras tinggi ini dapat disemai pada peringkat awal kanak-kanak.