KOMPETENSI TEKNOLOGI E-PENGAJARAN GURU BAGI MENDEPANI PENDIDIKAN PASCA PANDEMIK COVID-19
Abstract
Penyampaian kandungan pelajaran oleh guru turut terkesan akibat pandemik COVID-19. Institusi Pendidikan ditutup di seluruh dunia termasuklah Malaysia. Pelaksanaan e-pengajaran merupakan alternatif yang paling berkesan ketika pandemik COVID-19 dan telah dilaksanakan di seluruh dunia. Kajian ini dijalankan untuk mengetahui kompetensi guru dari negeri Perak bagi melaksanakan e-pengajaran pasca pandemik COVID-19. Kajian dijalankan menggunakan kaedah gabungan yang melibatkan pengumpulan data melalui soal selidik, temu bual dan analisis dokumen. Objektif kajian ini ialah untuk meneroka isu dan cabaran yang dihadapi oleh guru dalam melaksanakan e-pengajaran semasa pandemik COVID-19, mengenal pasti tahap kesediaan guru dalam melaksanakan e-pengajaran semasa pandemik COVID-19 berdasarkan jantina dan mengenal pasti tahap kesediaan guru dalam melaksanakan e-pengajaran semasa pandemik COVID-19 berdasarkan lokasi sekolah. Hasil kajian menunjukkan isu dan cabaran utama yang dihadapi guru dalam melaksanakan epengajaran semasa pandemik COVID-19 iaitu tahap kemahiran literasi teknologi epengajaran (min: 3.49), capaian internet (min: 3.08) dan kesediaan ibu bapa terhadap penerimaan e-pengajaran (min: 3.20). Tahap kesediaan guru melaksanakan e-pengajaran berdasarkan jantina juga berada pada tahap sederhana, lelaki (min: 3.05) dan perempuan (min: 3.02) manakala tahap kesediaan guru melaksanakan e-pengajaran berdasarkan lokasi sekolah juga berada pada tahap sederhana, bandar (min: 2.95) dan luar bandar (min: 2.56). Kesimpulannya, isu dan cabaran yang dihadapi mempengaruhi kompetensi guru dalam epengajaran selain faktor lokasi sekolah. Guru akan lebih bermotivasi meningkatkan kompetensi literasi teknologi e-pengajaran sekiranya isu dan cabaran dapat dikurangkan semasa melaksanakan e-pengajaran. Justeru, pihak berkaitan perlu memainkan peranan dalam menyelesaikan isu dan cabaran tersebut demi masa depan sistem pendidikan di Malaysia agar setanding negara maju yang lain.