DIARI SEORANG KONSTABEL DAN POTENSI KAJIAN LANJUT SEJARAH KEPOLISIAN
Abstract
Artikel ini merupakan perbincangan yang terperinci terhadap hasil karya berbentuk memoir seorang bekas anggota polis bernama Rosidi Ismail atau lebih dikenali sebagai Rossem. Karya ini bertajuk Diari Seorang Konstabel, dilakarkan dalam bentuk karikatur atau kartun sebagaimana itu adalah teras bakat karyawan tersebut. Dalam catatan beliau digarapkan kembali sebahagian kenangan dan pengalaman yang beliau lalui terutama semasa bertugas sebagai anggota Pasukan Polis Hutan (PPH). Isi kandungan penceritaan ini bermula dengan kemasukan awal dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari asalnya sebagai pelatih Pusat Latihan Belia Negara, Dusun Tua di Melaka. Diceritakan kembali impak Peristiwa 13 Mei 1969 dan situasi keselamatan ketika itu. Bab ini berlanjut kemudiannya kepada latihan asas kepolisian di Pusat Latihan Polis (Pulapol) dan tambahan latihan hutan untuk melayakkan diri sebagai anggota PPH. Rossem melakarkan kembali pengalaman bertugas dengan Batalion 11 PPH, tugas beliau melibatkan beberapa negeri termasuk operasi di Sarawak. Dalam karya ini terdapat pelbagai informasi yang berguna terutama perihal ancaman pihak Parti Komunis Malaya (PKM) dalam kempen keganasan mereka. Rossem menceritakan kembali insiden operasi di wilayah perbatasan Malaysia-Thai dan serang hendap yang beliau sendiri alami. Terdapat banyak pengisian cerita beliau yang dikira dapat dijanakan kembali dengan penulisan serta kajian lanjut bagi memperbanyakkan dan melengkapkan lagi sejarah negara dari sudut sejarah kepolisian.