KEBERKESANAN PENDEKATAN GAMIFIKASI DALAM PEMBELAJARAN BAHASA INGGERIS DARI SEGI PENGLIBATAN MURID DAN PENGEKALAN PEMBELAJARAN
Abstract
Gamifikasi merupakan salah satu pendekatan yang mula mendapat tempat dalam dunia pendidikan yang berpotensi memberi impak positif terhadap pembelajaran murid. Kajian ini dijalankan untuk mengkaji keberkesanan pendekatan gamifikasi dari segi penglibatan murid semasa sesi pengajaran dan pengekalan pembelajaran bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris. Pendekatan gamifikasi dalam kajian ini merujuk kepada permainan berasaskan digital melibatkan 120 orang responden yang terdiri daripada murid-murid tahap 2 dari 2 buah sekolah rendah daerah Hulu Langat. Responden dibahagikan kepada kumpulan kawalan (pendekatan gamifikasi) dan kumpulan rawatan (pembelajaran secara tradisional). Kajian ini menggunakan kaedah tinjauan kuasi-eksperimen ujian pra dan ujian pasca. Borang soal selidik digunakan bagi melihat kesan ke atas penglibatan murid dalam sesi pembelajaran dan markah pencapaian ujian Bahasa Inggeris pula dianalisis untuk melihat pengekalan pembelajaran murid. Dapatan kajian menunjukkan terdapat perbezaan min yang signifikan pada tahap penglibatan murid dalam pembelajaran bahasa Inggeris antara kumpulan rawatan dengan kumpulan kawalan iaitu di tahap sederhana. Dapatan juga menunjukkan nilai purata min bagi pengekalan pengetahuan dalam ujian pra untuk kumpulan rawatan (min=2.93) dan kumpulan kawalan (min=2.92). Untuk ujian pasca bagi kumpulan rawatan (min=3.60) manakala bagi kumpulan kawalan (min=3.08). Terdapat peningkatan min sederhana dalam kumpulan rawatan.