KAJIAN META ANALISIS: KEBERKESANAN PEMBELAJARAN KOPERATIF TERHADAP MOTIVASI PEMBELAJARAN MURID
Abstract
Pembelajaran koperatif merupakan pembelajaran abad ke 21 yang berpusatkan murid yang melibatkan penglibatan murid secara aktif manakala guru sebagai fasilitator untuk memberi bimbingan, nasihat dan dorongan bagi mencapai matlamat pembelajaran. Menyedari kepentingan pembelajaran koperatif, kajian ini dijalankan dengan tujuan untuk mengkaji pola kajian keberkesanan pembelajaran koperatif terhadap motivasi pembelajaran murid dari peringkat sekolah rendah hingga ke peringkat universiti. Kajian ini dilakukan ke atas 18 kajian dari tahun 2014 sehingga 2019. Daripada 18 kajian didapati 8 kajian mempunyai saiz kesan terhadap motivasi pembelajaran murid. Ukuran saiz d= 0.73 adalah ukuran kesan saiz yang didapati dari pelajar universiti, manakala ukuran saiz d=0.87 dikesan dari murid sekolah rendah dan sekolah menengah. Ini telah menunjukkan keberkesanan pembelajaran koperatif terhadap motivasi pembelajaran murid yang mempunyai hubungan yang positif dan signifikan antara kumpulan rawatan yang menggunakan kaedah pembelajaran koperatif berbanding kumpulan kawalan yang menggunakan kaedah pembelajaran tradisional. Dapatan menunjukkan, pembelajaran koperatif lebih berjaya meningkatkan motivasi murid berbanding kaedah tradisonal. Oleh yang demikian, kajian lanjutan tentang keberkesanan pembelajaran koperatif terhadap motivasi perlu dilakukan dengan menggunakan lebih banyak lagi artikel dan sampel kajian dalam penelitian meta analisis supaya data yang diperoleh lebih luas, lengkap dan lebih tepat.